
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke membidas P Ramasamy yang keluar parti.
Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy secara rasmi menamatkan segala spekulasi apabila mengumumkan keputusan keluar DAP pada hari ini.
Pemimpin veteran DAP itu menyerahkan surat peletakan semua jawatan pagi ini kepada Setiausaha Agung Anthony Loke yang kemudiaannya berkata tindakan tidak mencalonkannya semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini adalah tepat.
“Apabila tidak diberikan kerusi, maka keluar parti. Ini yang rasa mendukacitakan. Apapun, saya rasa perjuangan parti akan diteruskan.
“Pemimpin datang dan pergi. Yang penting parti kekal kuat. Tidak ada mana-mana orang yang lebih besar daripada parti,” katanya dipetik laporan FMT.
Loke terdahulu mengadakan program bersama masyarakat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chennah.
Mengulas lanjut, Loke turut berpandangan keputusan DAP tidak mencalonkan Ramasamy untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini adalah tepat.
“Ini membuktikan keputusan kita tak mencalonkan dia betul sebab tak ada keikhlasan. (Orang) lain kita tak calonkan kekal dalam parti dan kita hargai mereka,” katanya lagi.
Ramasamy antara tujuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digugurkan sebagai calon. ADUN Perai selama tiga penggal itu memenangi kerusi berkenaan pada 2008.
Bulan lalu, Ramasamy mempersoalkan sama ada DAP masih parti sama disertainya pada 2005 kerana kurang ketelusan dan konsisten dalam pengumuman calon.
Katanya, beberapa penyandang digugurkan atas alasan mahu meremajakan parti, tetapi “hakikatnya ramai calon muda digugurkan dan digantikan calon lebih tua”.