
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi kata semangat kepada Rafizi Ramli yang sedang dirawat di hospital.
Rafizi Ramli masih berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sedang berehat.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Ekonomi itu sedang menerima rawatan ekoran serangan jantung dialaminya dan rakan separtinya , Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi kata-kata semangat kepadanya.
“Mengenali Rafizi dia memang degil kalau doktor kata dia kena rehat dua minggu, barangkali seminggu dia datang (masuk kementerian), dia seorang yang sangat kuat bekerja.
“Kalau saya berpeluang bercakap dengan dia, saya mahu nasihatkan beliau supaya pastikan betul-betul tahap kesihatan pulih sepenuhnya kerana beliau memikul tanggungjawab yang amat berat.
“Kementerian Ekonomi berat dari segi melengkapkan data mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi jadi beliau memegang tugas yang sangat besar.
“Saya tahu dia seorang yang perfectionist dan akan berusaha melengkapkan sampai pada masanya bukan buat kerja secara semberono ataupun ala kadar,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sambutan ulangtahun ke 75 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berharap Rafizi dapat berehat dan mengambil masa untuk kembali pulih seperti sediakala.
“Buat masa sekarang saya doakan kesihatan beliau dan jika berpeluang jumpa sehari dua ini, diberikan izin untuk ziarahi beliau saya akan bercakap sebagai seorang abang kepada adik.
“Memang tugas kita berat tapi kesihatan adalah segalanya,” nasihat beliau.
Sabtu lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan Rafizi yang mengalami serangan jantung kini dalam keadaan stabil.
Rafizi dimasukkan ke pusat perubatan itu selepas mengalami serangan jantung awal pada minggu lalu.