PRN Melaka: NO UMNO! Maksud tersirat PAS guna lambang PN

November 2, 2021 · Politik

PAS akhirnya membuat pendirian tegas – menolak syarat kerjasama UMNO iaitu wajib menggunakan lambang parti itu sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan ini – sebaliknya parti Islam itu akan menggunakan lambang gabungannya, Perikatan Nasional (PN).

Keputusan Jawatankuasa PAS Pusat yang dibuat dalam mesyuarat semalam, juga sekali gus mendedahkan maksud tersirat bahawa parti itu menolak kerjasama dengan UMNO pada PRN Melaka.

Ini kerana mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis minggu lalu menghulurkan kerjasama kepada PAS dengan syarat parti itu tidak boleh menggunakan lambang PN sebaliknya mesti menggunakan lambang PAS.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas mesyuarat MT itu berkata, asas kerjasama itu berpandukan kepada prinsip PAS menggunakan lambang partinya sendiri, selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020.

Dalam hal ini, walaupun kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam hanya merujuk kepada penggunaan lambang, tetapi jika disebabkan tidak memenuhi syarat kerjasama ditetapkan UMNO, bermakna tidak ada lah kerjasama.

Dalam kenyataannya lewat malam tadi, Ahli Parlimen Marang itu berkata:

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung pada 1 November 2021 di Pejabat Agung PAS Pusat telah meluluskan penggunaan lambang Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.

“Ketetapan ini telah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama’ PAS yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS.”

Terdahulu, Majlis Syura Ulamak PAS Pusat menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan penggunaan mana-mana lambang berdasarkan strategi kebolehmenangan selaras peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS.

PAS sebelum ini menjalin hubungan kerjasama dengan UMNO menerusi persefahaman dalam Muafakat Nasional (MN), tetapi MN bukan gabungan politik berdaftar. Sebaliknya PAS adalah antara pengasas yang menubuhkan PN bersama Bersatu dan beberapa parti lain.

Keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa PAS Pusat malam tadi juga adalah tamparan kepada UMNO yang begitu megah berdiri sebagaimana diyakini Zahid bahawa parti itu boleh menang dan akan bergerak solo tanpa kerjasama mana-mana parti lain.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini sokongan terhadap UMNO dilihat semakin merosot susulan beberapa isu negatif yang melibatkan pemimpin parti itu, yang tidak disenangi rakyat.

Antara tindakan tidak popular yang menyebabkan UMNO semakin ditolak oleh rakyat membabitkan Datuk Seri Najib Razak, apabila beliau dibenar mendapatkan semula pasportnya untuk ke Singapura.

Demikian juga apabila Zahid dibenar ke luar negara untuk rawatan perubatan, sedangkan kedua-dua rakan baik itu sedang berdepan puluhan tuduhan jenayah di mahkamah, malah Najib sendiri telah dijatuhkan hukuman penjara dan denda, walaupun beliau merayu keputusan itu.

Walaupun ia adalah hak mahkamah untuk membuat keputusan, namun rakyat tidak berpuas hati apabila kluster mahkamah masih dilayan sebagai VVIP menjadikan mereka ‘kluster mahkamah kayangan’.

Selain itu, isu terbaharu berkaitan ‘pembohongan ‘ dan ‘janji palsu’ Pemuda UMNO berhubung pengeluaran simpanan one-off i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, juga mencetuskan kemarahan rakyat.

Mereka sebelum ini disogokkan dengan pelbagai janji manis oleh Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, namun tidak dilayan oleh kerajaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga menurut netizen, i-Citra Pemuda UMNO sudah menjadi i-Kecewa dan i-Kencing.

Ini antara beberapa punca UMNO sekarang tidak popular dalam kalangan rakyat. Dan hal ini disedari oleh pemimpin bahagian parti itu di Melaka yang akan menghadapi PRN bermula 8 November sebagai hari penamaan calon diikuti 16 dan 20 November untuk pengundian awal dan pengundian biasa.

Sebab itu, semalam enam bahagian UMNO Melaka tanpa segan-segan merayu supaya PAS bersama-sama dengan UMNO menghadapi PRN itu. Mereka menyedari tanpa PAS, UMNO akan berdepan masalah besar setelah rakyat melihat sendiri apa yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Keputusan Jawatankuasa PAS Pusat untuk menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka juga ada logiknya kerana parti itu adalah komponen gabungan politik yang berdaftar, sebagaimana UMNO juga menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan politik berdaftar.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Popular
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024
Anak Bung Moktar dilantik bendahari Pemuda UMNO
March 24, 2023
UMNO Bangi tak pernah dijemput, tapi boleh pula Noraini ajak wakil DAP
May 17, 2021
Lagi Politik terkini
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
19 jam lalu · Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024 · Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024 · Politik
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024 · Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok