
Sidang media selepas perjumpaan Ahli Parlimen Barisan Nasional pagi tadi.
Perjumpaan pagi tadi sepatutnya hanya melibatkan dengan semua Ahli Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) dan tidak melibatkan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata mendapat jemputan ke perjumpaan tersebut kerana diberitahu ia melibatkan MP BN dan terkejut apabila melihat terdapat pemimpin PH yang juga turut berada di hotel sama.
“Saya menerima notis melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha Kerja BN pada jam 11.23 malam semalam mengenai perjumpaan hari ini HANYA melibatkan Ahli-Ahli Parlimen BN.
“Satu sidang media telah diadakan selepas perjumpaan yang hanya melibatkan Ahli Parlimen BN dan puluhan wartawan telah membuat liputan.
“Saya terkilan apabila sebaik saja tiba di Seri Pacific Hotel, pemimpin-pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini. Saya tidak tahu samada ianya telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Untuk rekod, Zahid yang juga Pengerusi BN memanggil semua MP daripada parti itu ke hotel tersebut bagi menghadiri satu perjumpaan yang pada awalnya tidak dinyatakan tujuannya.
Jelasnya lagi, tiada pertemuan yang diadakan antara MP BN dengan PH seperti didakwa walaupun tular gambar dalam media sosial pertemuan ramah mesra antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan pemimpin kanan parti bersama beberapa pemimpin PH, ia termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perlu ditegaskan tiada sebarang perjumpaan di antara Ahli Parlimen BN dan wakil PH berlangsung ketika saya berada di Seri Pacific Hotel dari 10 pagi hingga 12 tengahari.
“Apa yang pasti, saya hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN sahaja,” katanya lagi.
Wee berkata sebarang keputusan kerjasama perlu mendapat persetuju daripada Dewan Tertinggi BN.
“Apa jua keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya lagi.