
Badrul Hisham Shaharin.
Belum sempat berhimpun pada hujung minggu ini, polis sudah menahan aktivis politik Badrul Hisham Shaharin malam ini.
Badrul Hisham atau dikenali Chegubard antara salah seorang sekretariat penganjur yang merancang mengadakan perhimpunan “Selamatkan Malaysia” sempena Hari Malaysia hujung minggu ini bagi membantah langkah kerajaan menghentikan pertuduhan kes rasuah Datuk seri Ahmad Zahid Hamidi.
Media melaporkan Chegubard ditahan di hadapan Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, sewaktu beliau dipercayai menghadiri satu mesyuarat.
Beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur.
Demonstrasi itu dianjurkan Perikatan Nasional (PN) bagi membantah keputusan kontroversi peguam negara yang menghentikan perbicaraan kes rasuah membabitkan Presiden UMNO itu.
Zahid yang Pengerusi Barisan Nasional (BN) berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.
Menurut penganjur, demonstrasi itu akan diadakan di Kampung Baru, dan dijangka disertai oleh pemimpin utama parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat sivil.