
PRK Parlimen Kemaman.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu bersiap siaga termasuk aspek aset dan keanggotaan sekiranya berlaku banjir semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata lebih 2,000 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di seluruh negeri sepanjang musim banjir dan bagi daerah Kemaman sahaja, lebih 700 kekuatan, lapor Bernama.
Mazli berkata berdasarkan penilaian pihaknya, 18 pusat mengundi sekitar Kemaman berisiko dilanda banjir dan PDRM telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam merancang pelan kontigensi yang diperlukan.
“Ada pusat pemindahan sementara (PPS) yang akan jadi pusat mengundi dan ada tempat mengundi yang akan jadi PPS, jadi kami akan
susun atur balik mengikut keadaan semasa tetapi perancangan dah buat kerana PDRM dan SPR ada langkah kontigensi.
“Semua aset kami telah gerakkan dan semua perancangan kami susun dengan sebaik mungkin untuk memastikan proses PRK ini berjalan lancar,” katanya kepada media selepas meninjau Pusat Penamaan Calon PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman hari ini.
SPR menetapkan 28 Nov ini bagi tarikh mengundi awal manakala 2 Dis bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Untuk hari penamaan esok, Mazli berkata 419 pegawai dan anggota bertugas selain bantuan 366 pegawai dan anggota daripada lain-lain jabatan.
Mengenai penutupan jalan, Mazli berkata 24 laluan di sekitar pusat penamaan calon akan ditutup bagi memudahkan proses tersebut berlangsung dan penyokong diingatkan untuk mematuhi segala peraturan dan arahan pihak berkuasa.