
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi diambil pihak polis susulan kempen semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, Johor sebelum ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebelum ini juga diambil kenyataan berhubung ucapan dibuatnya semasa kempen PRK dan pihak berkuasa meneruskan tindakan terhadap pemimpin utama pembangkang tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan perkara itu, selepas dihubungi media.
Bekas Perdana Menteri yang hadir dengan memakai baju berwarna hitam, tiba di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral, di sini pada jam 9.13 pagi, bagi tujuan berkenaan, menurut laporan media.
Sebelum ini media melaporkan, tindakan itu dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Pada 3 September lalu, Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan kritikan keras semasa dalam ceramah kempen DUN Simpang Jeram, Johor.
Ucapannya itu turut dikongsi menerusi halaman Facebook yang mana mengandungi dakwaan Melayu pada hari ini tidak lagi menguasai kerajaan, maknanya orang Melayu sudah hilang kuasa, sedar ataupun tidak, betul ataupun tidak.