Anggapan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) bahawa parti itu mendapat sokongan rakyat, susulan kemenangan besar di dua Pilihan Raya Negeri (PRN) – Melaka dan Johor – hanya delusi semata-mata.
Bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata kemenangan dua pertiga kerusi pada PRN itu juga tidak melambangkan kekuatan parti pada mata rakyat.
Malah, Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata kemenangan itu tidak boleh dijadikan ukuran utama bahawa BN mampu meneruskan momentum kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
“Banyak pengundi tidak keluar… bukan jumlah sedikit dan orang muda pun tidak keluar mengundi. Jadi, jangan kita fikir dapat dua pertiga di PRN Melaka dan Johor kita kuat… sebenarnya tak kuat.
“Kita tidak mendapat sokongan rakyat, ia hanya delusi… kita fikir dapat sokongan (banyak), tetapi sebenarnya tidak dapat,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-9 Gagasan Melayu Perak (GMP) di Dewan Komuniti Taman Cempaka, di Ipoh hari ini.
PRN Melaka dan Johor lebih banyak membincangkan isu setempat berbanding negara di mana rakyat hanya fikir mengenai parit dan jalan luar bandar, bukannya mengenai dasar dalam dan luar negara, katanya yang lebih dikenali sebagai Ku Li.
“Banyak perkara tidak dibicara semasa PRN negeri, jadi cuma isu setempat sahaja. Saya bimbang mereka (pengundi) akan menyokong sebaliknya (dalam PRU-15).
“Walaupun pemimpin seronok… patut seronok dah menang besar… tetapi hakikatnya tiada sokongan daripada rakyat,” katanya.
Tengku Razaleigh juga berpendapat tidak ada satu parti pun yang dapat menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah selepas PRU-15 ini.
“Saya berpendapat berdasarkan sikap ditunjukkan ketika ini, saya rasa tidak ada satu parti yang boleh menubuhkan kerajaan selepas PRU-15,” katanya.