
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tanggungjawab sebagai pembangkang sedia digalas Perikatan Nasional (PN) Pahang, kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PAS itu berkata PN akan menjadi blok pembangkang yang kuat walaupun UMNO-Barisan Nasional (BN) memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH)-DAP untuk membentuk kerajaan negeri Pahang baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.
“Sebelum keputusan gabungan kerajaan negeri ini dibuat, saya beberapa kali berunding dengan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, untuk cari jalan penyelesaian kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang masih tergantung dengan PN memenangi 17 kerusi, BN (16) serta PH, lapan kerusi.
“Sebelum ini, kita (PN) mencadangkan beliau sebagai Menteri Besar melalui muafakat antara PN dan BN dengan pembahagian jawatan EXCO yang sama rata, namun BN membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Tuan Ibrahim mengkritik BN Pahang kerana terlalu tamak dan mahu membolot semua jawatan dalam kerajaan negeri.
“Ada cadangan untuk mengadakan penyatuan tetapi pihak kami menolak selepas hanya ditawarkan satu kerusi Exco daripada 10 kerusi yang ada di negeri ini.
“Kami kemudian memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan pemangku Raja Pahang berhubung pendirian BN selain pihak istana turut memaklumkan bahawa sudah menerima cadangan BN akan bersama PH di Pahang,” katanya lagi.
Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akur dengan gabungan berkenaan dan PN berjanji menjadi pembangkang yang konstruktif di Pahang.