
Fahmi Fadzil.
Langkah tiga negeri Perikatan Nasional (PN) yang mahu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan sendiri tahun ini menyebabkan Fahmi Fadzil tidak duduk senang.
Menteri Komunikasi dan Digital yang hilang beberapa hari selepas keputusan buruk enam Pilihan Raya Negeri (PRN) berkata pihaknya akan menyiasat berhubung cadangan tiga kerajaan negeri PN untuk menggunakan tema Hari Kebangsaan berbeza tahun ini.
Katanya, beliau baharu sahaja menerima laporan mengenai penggunaan logo dan tema berbeza itu dan akan menelitinya kerana tidak mahu perbezaan berlaku yang akan mewujudkan jurang serta mewujudkan suasana tidak bersatu padu.
Beliau berkata, pihaknya akan mengarahkan pihak bertanggungjawab untuk meneliti perkara itu dan menyeru semua pihak mengenepikan untuk berpolitik kerana PRN sudah selesai di enam negeri baru-baru ini.
“Sebelum ini kita angkat bendera parti, sekarang kita ketepikan dan angkat bendera Malaysia. Tidak mahu ada sebarang fahaman politik kerana sekarang kita fokus untuk bersatu padu dan membangukan negara,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Program #deminegaraku dan Home of Kids, di sebuah pusat membeli-belah, hari ini
Media hari ini melaporkan empat negeri di bawah pemerintahan PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, hari ini.
Katanya, logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.
Fahmi berkata, pihaknya mengakui aura Sambutan Kemerdekaan dalam kalangan orang ramai yang mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan ini sangat berkurangan.
Beliau berharap pihak media membantu dan memberi pesanan kepada rakyat agar menghentikan berpolitik dan sekarang tiba masanya untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
Katanya, beliau berharap rakyat dapat mengambil peluang ini dan dalam tempoh sebulan Sambutan Bulan Kebangsaan diadakan ini rakyat dapat meraikan dengan meletakkan Jalur Gemilang di media sosial masing-masing.