
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyaman Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tun Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin sekali lagi dibidas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa supaya membawa balik kekayaan mereka ke Malaysia.
Perdana Menteri (PMX) meneruskan serangan terhadap dua musuh politiknya itu dengan mempersoalkan bagaimana mereka boleh menjadi sebegitu kaya dan mengkayakan anak beranak mereka.
“Sebab itu, saya tanya Tun Dr Mahathir, Tun Daim (Zainuddin) yang kaya bilion-bilion. Tidak mengapa kalau mahu berjuang untuk Melayu, saya setuju.
“Tetapi harta kamu yang bilion-bilion, anak ada pesawat, ada kapal, ada bank diluar negara, wang itu semua bawa balik bagi kepada orang Melayu di Malaysia.
“Baru betul kamu pejuang. (Gesaan) itu belum dijawab. Saya minta dijawab berapa bilion dia ada. Daripada mana dia dapat (kekayaan itu), pulangkan balik wang itu ke Malaysia ini,” katanya dipetik laporan BH.
Gesaan sama diulang semalam hari ini semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani.
Turut sama hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Gesaan Anwar itu hadir, selepas bekas Perdana Menteri ketujuh dan keempat itu mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan perdana menteri itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada Mac lalu.
Dr Mahathir mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapannya pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pentadbirannya tidak pernah mengkhianati Melayu, apatah lagi untuk mengenepikan hak mereka di tanah airnya sendiri.
“Ada yang usul dari tokoh melayu, Tun..Tan Sri..heboh mahu jaga Melayu. Melayu sudah habis (dakwanya dibawah pentabiran sekarang). (Katanya) Anwar tak boleh harap dah, Zahid tak boleh pakai.
“Tetapi saya tanya mereka, yang kita khianat ini apa, enam bulan ini yang (kerajaan) khianat apa? Saya bagi hak Bahasa Melayu, keistimewaan Melayu (dipertahan), projek untuk Melayu, sebab kita pertahankan dasar sedia ada,” katanya.