
Anwar dan Zahid bergandingan membentuk kerajaan campuran.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan 47 kes rasuah yang dihadapi anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehingga dibuktikan mempunyai prima facie boleh dipersoalkan.
Menurut laporan portal MalaysiaNow, Perdana Menteri (PMX) dipetik berkata keputusan menghentikan 47 kes rasuah Presiden UMNO itu terletak bawah bidang kuasa Peguam Negara (AG) dan menambah pertuduhan tersebut boleh “dipersoalkan”.
“Adakah 47? Setiap cek adalah pertuduhan. Jadi pertuduhan itu boleh dipersoalkan. Setiap cek yang dikeluarkan adalah pertuduhan dengan sendirinya, yang tidak semestinya dilakukan secara profesional,” katanya lapor MalaysiaNow.
Anwar menjawab soalan ketika ditanya mengenai keputusan menggugurkan pertuduhan rasuah dalam sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken di Singapura.
Anwar juga mengulangi dakwaan Zahid pertuduhan dikemukakan terhadapnya pada 2019 kerana enggan memenuhi tuntutan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membubarkan Umno.
“Bila pertuduhan diutamakan? Semasa Mahathir menjadi perdana menteri. Bila? Seminggu selepas dia panggil presiden parti kebangsaan ini (IUMNO) yang merupakan ahli gabungan saya, dan memberitahunya (Zahid), ‘kamu bubar parti kamu dan sertai parti saya’,” katanya lagi.
Anwar juga memetik dakwaan “dokumen bocor” yang kononnya menunjukkan bahawa anggota pendakwaan menentang pertuduhan terhadap Zahid.
Bagaimanapun, Anwar berkata beliau tidak mempunyai peranan dalam melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid.
Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Beliau diberikan penghakiman DNAA pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.
Keputusan itu menimbulkan kemarahan yang meluas, dengan Jabatan Peguam Negara berkata hakim memutuskan berdasarkan alasan kukuh yang dikemukakannya kepada mahkamah.