
Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur, Howard Lee.
Siasatan sedang dijalankan terhadap seorang pemimpin DAP menggunakan ayat al-Quran untuk menggesa umat Islam menyokong kerajaan campuran.
Laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How yang bukan beragama Islam tetapi memetik ayat suci kitab umat Islam mengikut tafsiran sendiri supaya orang ramai menyokong kerajaan.
Howard terdahulu memuat naik video di TikTok, di mana beliau memetik ayat 59 Surah an-Nisa, yang antara lain berbunyi: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulul Amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu.”
“Ayat suci ni. Hakikatnya, semua propaganda nak angkat Islam, angkat agama, bangsa dan negara atas nama agama, semuanya ikut deme (kamu), semata-mata sebenarnya nak raih undi,” katanya dalam video berdurasi empat minit itu.
Beliau menghina PAS dan menuduh presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang menunggang agama, sambil memetik ayat untuk memberitahu umat Islam tentang kewajipan mereka untuk menyokong kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Malaysia Madani yang berteraskan prinsip kepelbagaian dan kemajmukan bangsa, keturunrnan dan budaya, jelas menjadi ancaman kepada Hadi dan Hadi tak boleh terima yang orang lain boleh menghidupkan perpaduan macam Madinah al-Munawwarah,” katanya, merujuk kepada pentadbiran Islam yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad.
Howard menuduh Hadi dan pemimpin PAS yang mempersoalkan kerajaan sekarang sebagai antara “Khawarij”, label yang sering digunakan pada pelampau Islam yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Klip video itu mendapat kritikan daripada warga maya serta pemimpin PAS, yang kebanyakannya mengingatkan Howard bahawa ketaatan kepada pemimpin adalah bersyarat.
Semalam, kumpulan dikenali sebagai Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) membuat laporan polis terhadap Howard.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.