
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.
Peguam bela Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu anak guamnya akan memohon untuk mengetepikan tiga pertuduhan terbabit pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta yang dihadapinya.
Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas perdana menteri itu berkata permohonan yang akan dibuat mengikut Seksyen 173 (g) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini yang membebaskannya daripada sebarang kesalahan.
“Kita akan memfailkan permohonan secepat mungkin, selain akan menulis kepada pendakwaan untuk persetujuan supaya Muhyiddin mendapatkan kembali pasport,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata sebutan kes hari ini untuk mendengar permohonan pendakwaan supaya empat tuduhan rasuah dan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dihadapi bekas Perdana Menteri itu, untuk dibicarakan bersama.
Bagaimanapun, katanya, Mahkamah Tinggi sudah membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan rasuah di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Kami memohon permohonan untuk perbicaraan bersama ditangguhkan terlebih dahulu ke satu tarikh akan datang atas alasan sudah failkan satu notis rayuan pada 15 Ogos lalu, dan hari ini failkan satu petisyen di Mahkamah Rayuan (berkaitan tuduhan rasuah dibatalkan).
“Pengurusan kes di Mahkamah Rayuan ditetapkan pada 27 September ini. Untuk kes pengubahan wang haram dan predikat, kami bersetuju tarikh sebutan (di Mahkamah Sesyen) pada 29 November ini, jika boleh permohonan ini ditetapkan pada tarikh itu,” katanya.
Hisyam tidak membantah tarikh sebutan kes itu, namun memohon supaya Muhyiddin dikecualikan kehadiran yang tidak dibantah pendakwaan.
Azura kemudian membenarkan tarikh sebutan kes seterusnya seperti dicadangkan pendakwaan.
“Pihak-pihak (pendakwaan dan pembelaan Muhyiddin) perlu maklumkan hasil pengurusan kes pada 27 September ini sebelum saya benarkan pengecualian kehadiran (Muhyiddin).
“Failkan surat (perkembangan pengurusan kes) dalam sistem,” katanya.
Pada 15 Ogos lalu, Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan tuduhan berkenaan.
Muhammad Jamil dilaporkan berkata, ia susulan empat pertuduhan berkenaan tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.