
Kerajaan campuran yang terdiri daripada UMNO dan DAP.
Sokongan pengundi Pakatan Harapan (PH) dan UMNO dijangka kekal sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan diadakan 12 Ogos ini.
Walaupun dengan perkembangan terbaharu kes mahkamah dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas pendakwa kanan digugurkan, pengundi Cina khususnya penyokong DAP yakin kerajaan campuran setakat ini masih bersih dan telus.
Tinjauan terhadap pengundi Cina khususnya penyokong tegar DAP di Selangor mendapati mereka masih setia bersama gabungan PH yang kini terdapat UMNO, ia walaupun terdapat isu skandal baharu melibatkan pemimpin atasan di negeri tersebut.
Di kawasan bandar, pengundi DAP khususnya tidak mempunyai masalah untuk kekal memilih calon yang diletak PH, malahan calon UMNO yang bertanding di luar bandar juga dikatakan menerima sokongan pengundi DAP.
Antara alasan diberikan penyokong Cina DAP berhubung kes dihadapi Zahid adalah mereka perlu sokongan UMNO untuk kekal berkuasa di Putrajaya.
Tanpa UMNO, pengundi tegar DAP bimbang kehilangan kuasa memerintah kerajaan pusat dan tidak mahu mengambil risiko kehilangan pelbagai manfaat yang diumumkan oleh kerajaan campuran dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya tiada masalah untuk menyokong UMNO… Kes Zahid tidak akan mempengaruhi sokongan pengundi Cina kepada PH di Selangor,” kata seorang pengundi di Subang Jaya yang mahu dikenali sebagai Wong semasa ditemui Agenda Daily.
Untuk rekod, media baru-baru ini melaporkan kerajaan campuran menukar Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran daripada mengendalikan kes rasuah dihadapi Zahid.
Perkembangan terbaharu itu menimbulkan spekulasi berkemungkinan kes rasuah dihadapi Presiden UMNO itu bakal digugurkan selepas PRN nanti.
Sokongan pengundi Cina adalah signifikan dan penting jika PH-UMNO mahu terus memerintah kerajaan negeri Selangor bersama selepas ini.
Bagaimanapun, Wong tidak menolak berkemungkinan terdapat segelintir pengundi Cina yang akan membuat undi protes kerana tidak berpuas hati dengan pembentukan kerajaan campuran bersama UMNO.
“Tapi ada juga rakan-rakan Cina yang tidak berpuas hati dengan kerjasama UMNO, khususnya pengundi atas pagar.
“Mereka merancang untuk membuat undi protes semasa PRN Selangor ini nanti,” katanya lagi.
Sejumlah 147 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Selangor.
Daripada jumlah itu, 44 calon mewakili PH dan 12 mewakili UMNO.