
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Selepas desakan dibuat Pemuda UMNO kepada seteru lamanya – DAP yang kini bersama dalam kerajaan perpaduan, Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta agar tiada lagi kenyataan yang mengguris hati antara mereka.
Beliau juga menyeru agar rakan-rakan baharunya dalam kerajaan campuran itu juga tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati orang Melayu.
“Harapan saya, kesalingan yang terbentuk ini akan memadamkan kecurigaan sesama kita.
“Jangan lagi ada kenyataan yang boleh mengguris hati antara kita.
“Kepada sahabat-sahabat kita, jangan diusik hati dan perasaan orang Melayu.
“Begitu juga dengan kita, elakkan tutur dan tindakan yang boleh mengundang resah sahabat dan rakan kita,” katanya Ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membuat gesaan agar DAP memohon maaf kepada UMNO atas tohmahan terhadap parti itu yang mengguris hati semua ahli sehingga kini.
Kata Akmal, ada ahli yang melahirkan kebimbangan ‘keris’ UMNO akan terperosok ke bumi selepas bersahabat dengan DAP yang dimusuhi berpuluh tahun lamanya.
Namun semalam juga Zahid menyifatkan tiada keperluan untuk DAP meminta maaf dan katanya tidak sepatutnya gesaan itu timbul kerana UMNO dan DAP sudah pun mencapai kata sepakat ketika membentuk kerajaan campuran selepas PRU-15.
Sementara itu, orang nombor dua parti, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata cadangan dikemukakan Pemuda UMNO itu baik.
“Cadangan (Pemuda UMNO) yang baik. Bagi saya, kalau DAP berbesar hati mereka boleh minta maaf kepada UMNO.
“(Kalau) minta maaf kepada Sarawak (GPS) boleh, lagi bagus jika minta maaf kepada UMNO.
“Kita akan bekerjasama dalam satu kerajaan dan DAP mesti berbesar hati,” kata Tok Mat.