
MP Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Seorang Ahli Parlimen (MP) PKR, Hassan Abdul Karim menyifatkan sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) semasa enam Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu adalah kerana ketidakadilan kerajaan campuran.
MP Pasir Gudang yang lantang mengkritik kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa faktor menyumbang kepada kejayaan PN mempertahankan tiga negeri dan menambah kerusi di tiga negeri semasa PRN lalu dengan menjelaskan ia bukan semata-mata disebabkan gelombang hijau.
Katanya, rakyat di tiga negeri itu termasuk Perlis merasa terpinggir kerana pembangunan ekonomi, industri dan pertanian yang masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain seperti di Pantai Barat atau Selatan semenanjung.
Beliau berkata, sentimen kebencian terhadap kerajaan Pusat itu semakin menebal apabila empat negeri yang majoritinya orang Melayu itu masih dibelenggu serta mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi.
“Satu contoh konkrit sebagai fakta, bukan tohmahan melulu adalah melalui PETRONAS, kerajaan Pusat telah mendapat hasil minyak petroleum dari perut bumi dan laut Kelantan, berbilion ringgit selama ini tetapi hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak telah dinafikan.
“Rakyat Kelantan melalui kerajaan negerinya terpaksa menuntut hak royalti minyak mereka hingga ke mahkamah. Bertahun-tahun berjuang di mahkamah tetapi sehingga kini hak rakyat Kelantan itu dinafikan.
“Sentimen antikerajaan Pusat yang menzalimi Kelantan sejak berpuluh tahun ini telah menebalkan keyakinan rakyat negeri itu bahawa kerajaan Pusat tidak adil kepada rakyat Kelantan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, keadaan dan sentimen itu bukanlah baharu berlaku di bawah kepimpinan Anwar, namun sejak Barisan Nasional (BN) dan UMNO memerintah negara lebih 60 tahun lalu yang menganaktirikan negeri terutama Kelantan dan Terengganu.
Katanya, satu lagi contoh ketidakadilan kerajaan Pusat apabila tidak memberi peruntukan sama rata di semua Parlimen termasuk kawasan diwakili pembangkang, sekali gus tidak menghormati pilihan rakyat.
“Rakyat telah memilih ahli Parlimen mereka melalui peti undi secara demokrasi dalam pilihan raya. Ketika mengundi, rakyat tidak tahu lagi calon yang mereka undi itu nanti jadi ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang. Jadi rakyat tidak patut dihukum (dengan tidak memberi peruntukan) jika ahli Parlimen kawasan itu jadi ahli Parlimen pembangkang.
“Sebab itu UMNO kini pupus di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah. PKR serta Amanah dalam PH yang bersekutu dengan UMNO turut mengalami nasib yang sama juga seperti calon UMNO di negeri Melayu Islam yang miskin dan mundur itu,” katanya.
Hassan berkata, Pakatan Harapan (PH)-UMNO tidak berjaya menakluk negeri terbabit walaupun berkempen dan melakukan propaganda menggunakan media massa termasuk akhbar arus perdana dan televisyen swasta.
“Di tambah dengan taburan peruntukan wang ringgit serta projek bernilai berbilion-bilion ringgit di tengah-tengah waktu berkempen yang jelas salah dari segi etika dan moral amalan pilihan raya demokrasi, walaupun dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) dan undang-undang.
“Perlu tanya diri sendiri kenapa rakyat Melayu Islam di negeri-negeri jajaran timur dan utara itu tetap menolak PH-BN,” katanya.