
Sidang Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen (MP) DAP dan kerajaan campuran tidak berpuas hati apabila Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan berhubung Aturan Mesyuarat berhubung usul untuk membahaskan isu kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu semasa awal sidang khas pagi tadi, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bangkit mengemukakan ‘Aturan Mesyuarat’ yang menyebabkan MP DAP dan kerajaan campuran tidak berpuas hati dan menyuruhnya duduk.
“Speaker belum mula sudah ‘standing order (Aturan Mesyuarat)’,” kata MP Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Susulan itu, MP Kepong (DAP), Lim Lip Eng juga masuk campur apabila berkata, “Duduk, duduk”.
Takiyuddin berhujah setiap Aturan Mesyuarat yang dibawa sepatutnya dibangkitkan selepas sesi soal jawab tetapi pada sidang hari ini tidak ada sesi tersebut.
“Hari ini tidak ada sesi soal jawab, jadi atas sebab itu sebelum dimasukkan urusan sebagai mana ditentukan oleh ketua majlis, ini dah dibangkitkan hal Aturan Mesyuarat… itu yang kita faham,” katanya semasa sidang pagi tadi.
Usul berhubung kes rasuah Zahid yang dihentikan prosidingnya sudah dihantar ke pejabat Speaker Dewan Rakyat sebelum ini oleh Wan Ahmad Fayshal.
Usul berkenaan antaranya meminta memanggil Peguam Negara untuk memberi penjelasan mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah berkait dana Yayasan Akalbudi.
Usul itu menggesa sesi khas sidang Parlimen yang bermula hari ini ditangguhkan bagi menuntut Peguam Negara menjelaskan keputusan itu kepada Dewan Rakyat.
“Peguam negara perlu menyatakan perkara-perkara yang menjadi asas kepada penarikan balik 47 pertuduhan itu, memandangkan mahkamah sudah memutuskan terdapat kes prima facie dan timbalan perdana menteri telah diarah membela diri,” tulisnya dalam notis yang ditujukan kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul.
Beliau berhujah bahawa usul itu adalah berkehendak disegerakan dan berkepentingan awam, dan oleh itu memenuhi kriteria untuk menggunakan Peraturan Mesyuarat 18.
Sidang Dewan Rakyat hari ini dijadualkan untuk membentang dan membahaskan kajian semula separuh penggal bagi Rancangan Malaysia Ke-12.