
Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur, Howard Lee.
Nasihat diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kepada pemimpin DAP, Howard Lee kerana kontroversi memetik dan menafsir ayat al-Quran.
Dalam pertemuan malam tadi yang dikongsi dalam akaun Facebook, Mohd Na’im bertemu dengan Ahli Parlimen Ipoh Timur tersebut bagi memberi nasihat berhubung kontroversi memetik ayat al-Quran dalam konteks politik baru-baru ini.
Mohd Na’im berkata, ia pertemuan yang sangat membina.
“Pertemuan yang sangat membina, satu persefahaman iaitu Islam tetap wajib ditegakkan di Malaysia sebagai agama Persekutuan.
“YB (Yang Berhormat) Howard bersetuju dengan nasihat saya supaya lebih berhati-hati dalam mengambil petikan ayat al-Quran agar tidak menimbulkan salah faham terutama di zaman media sosial ini,” katanya.
Sebelum ini, ahli politik DAP itu mencetuskan kontroversi selepas video ucapannya tular di media sosial.
Dalam video itu, Howard juga membidas PAS dan menuduh presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang menunggang agama, sambil memetik ayat untuk memberitahu umat Islam tentang kewajipan mereka untuk menyokong kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Klip video itu menimbulkan kritikan pedas terhadap pemimpin DAP itu di media sosial malah pemimpin PAS termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang membandingkan tindakan Howard dengan Basuki Tjahaja Purnama dari Indonesia, bekas gabenor Kristian Jakarta yang dihukum penjara selepas beliau memetik ayat al-Quran untuk mengecam pengkritiknya.