
Tangkap sayar kekecohan berlaku semasa program bersama MB Selangor, Amirudin Shaari.
Penduduk yang tidak berpuas hati mengecam secara depan-depan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu program di Batu Caves, malam tadi.
Amirudin mengadakan Majlis Makan Malam Perpaduan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua malam tadi, bagaimanapun ia bertukar kecoh selepas penduduk tak berpuas hati membangkitkan masalah Pangsapuri Putri Laksamana di Batu Caves, menurut laporan Malaysiakini.
Kejadian itu berlaku apabila beberapa pengundi dari kawasan tersebut cuba bertanya soalan kepada Amirudin ketika dia berjalan ke kereta setelah menghabiskan ucapan.
Salah seorang penduduk bertanya kepada ADUN Sungai Tua selama tiga penggal itu berhubung keadaan pangsapuri yang didakwa teruk.
Selain mendakwa railing tangga sudah usang dan berkarat, dia juga berkata longkang di sekitar pangsapuri tidak ditutup dengan betul menyebabkan bahaya kepada penduduk khususnya warga emas.
Menjawab aduan penduduk berkenaan, Amirudin meminta dia merujuk kepada badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri tersebut.
Tidak puas hati dengan jawapan Amirudin, individu itu berkata Pengerusi JMB merupakan penganjur program pada malam itu dan isu tersebut telah berlarutan selama 10 tahun.
Dia juga bertanya mengapa Amirudin tidak turun ke kawasan tersebut selama 10 bulan selepas menjadi Ahli Parlimen Gombak.
Namun Amirudin sekali lagi meminta dia merujuk kepada JMB supaya isu pangsapuri itu diselesaikan.
“Isu ini kena bawa ke JMB dulu,” katanya sebelum terus berjalan ke kereta.
Keadaan menjadi kecoh seketika apabila beberapa ahli PKR cuba menahan individu tersebut bersama beberapa orang lain yang terus bertanya soalan kepada Amiruddin.
“Saya hari ini membangkitkan isu ini bagi pihak semua penduduk pangsapuri Putri Laksamana.
“Apa guna ada MB sedangkan isu 10 tahun tidak dapat diselesaikan,” kata individu itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nesh, lapor Malaysiakini.
Nesh juga meminta orang ramai yang hadir program itu mengundi calon Bebas yang merupakan penduduk daripada kawasan tersebut.
Amirudin berdepan saingan tiga penjuru daripada calon PN, Muhammad Hanif Jamaluddin dan Suman Gopal yang bertanding atas tiket Bebas di DUN Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Pangsapuri Putri Laksamana mempunyai lima blok dengan anggaran 400 penghuni terdiri daripada Melayu, Cina dan India.