
Gabungan lebih 185 NGO Islam itu sebulat suara menyokong Muhyiddin. Gambar FB
Lebih 185 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan sokongan penuh terhadap calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), esok (19 November).
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa berkata gabungan PN yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan itu mampu membentuk sebuah negara yang bersih dan berintegriti.
“Amat gusar melihat sokongan politik orang Melayu berpecah dalam PRU-15 ini dan kesannya DAP akan menguasai kerajaan Malaysia melalui gabungan parti Pakatan Harapan (PH).
“Sehubungan itu Ummah dan Gabungan NGO Islam menyeru serta merayu Umat Islam seluruh Malaysia agar wajib keluar mengundi dan menyatukan undi hanya kepada satu gabungan parti yang jelas mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara serta bersih daripada rasuah, berwibawa selain berusaha memperkasa penyatuan ummah,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Berdasarkan pemerhatian dan penilaian parti-parti yang bertanding, Mohd Zai percaya Muhyiddin menepati kriteria sebagai seorang pemimpin yang mampu menjaga kestabilan negara dan menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Perbandingan dua calon perdana menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin lebih memenuhi kriteria menjaga agama, bangsa dan negara serta menghormati bangsa dan agama yang lain.
“Berdasarkan prestasi yang lepas Muhyiddin berjaya mengurus tadbir negara dengan baik dan berjaya mengemudi negara berdepan dengan masalah besar Covid-19 dan kesuraman terhadap ekonomi negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ummah bersama gabungan lebih 185 NGO Islam terdiri daripada golongan profesional dan agamawan itu sebulat suara menyokong Muhyiddin dan berharap orang ramai akan keluar mengundi pemimpin yang berwibawa, esok.