
PRN Negeri Sembilan.
Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan hari ini menawarkan lapan tonggak dengan 19 tawaran utama untuk dilaksanakan sekiranya dipilih mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Pengerusi PN negeri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika melancarkan manifesto itu secara dalam talian berkata tawaran tersebut memberi tumpuan kepada meringankan kos sara hidup serta memperkasa pendidikan dan kebajikan rakyat.
Lapan tonggak tersebut ialah Memacu Daya Tahan Ekonomi dan Menangani Kos Sara Hidup; Merakyatkan Pendidikan; Mempertingkat Kesejahteraan Sosial; Merancakkan Ekopelancongan; Melestari Masa Depan Belia; Memperkasa Wanita Unggul; Memperkukuh Jaringan Infrastruktur dan Keselamatan serta Meningkatkan Kecekapan Tadbir Urus.
Pilihan Raya Umum ke-14 di Negeri Sembilan yang memiliki 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menyaksikan Pakatan Harapan menguasai 20 kerusi dengan DAP 11, PKR (6), Parti Amanah Negara (tiga) manakala Barisan Nasional 16 (UMNO 15 dan MIC satu).
Pada PRN kali ini, PN bertanding di semua 36 kerusi DUN berkenaan.