Ku Nan pernah ditawar jawatan TPM supaya keluar UMNO

Ahli Parlimen (MP) Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mendakwa, beliau pernah ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) oleh kerajaan sebelum ini sekiranya bersedia meninggalkan UMNO.

Namun, kerana sayangkan UMNO dan tidak mahu dilabel sebagai pengkhianat, Tengku Adnan enggan mengikut kehendak pihak berkenaan kerana beliau yakin hanya parti keramat itulah yang akan menentukan masa depan orang Melayu, menjaga agama Islam dan memelihara negara.

Tengku Adnan bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci kerajaan yang mana menawarkannya jawatan tersebut.

“Saya telah diminta untuk memberikan sokongan kepada mereka, lompat kepada parti mereka dan diberikan janji pelbagai jawatan sehinggakan jawatan penghabisan adalah sebagai TPM.

“Namun demi Allah, apa yang saya ada hari ini adalah kerana UMNO dan saya tidak akan mengkhianati parti saya.

“Walau apa pun terjadi, saya tidak akan mengikut apa yang dikehendaki mereka kerana saya amat yakin hanya UMNO yang akan menentukan masa depan orang Melayu, agama saya terjaga dan negara terpelihara dengan hala tuju yang benar,” katanya dalam laporan MalaysiaGazette. 

Menurut bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi, disebabkan beliau tidak tunduk pada permintaan pihak tersebut, beliau dituduh dengan pelbagai tuduhan sehingga terpaksa turun naik mahkamah.

Untuk rekod, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn. Bhd. (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn. Bhd. yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Tengku Adnan berkata, beliau berjanji untuk terus berjuang demi agama, bangsa dan negara bagi memastikan hasrat sesetengah pihak untuk melihat UMNO terkubur, gagal.

“Kerana itu, walaupun kita menghadapi onar yang begitu ketara terutama daripada parti serpihan yang inginkan UMNO ini gugur namun kita bersyukur kerana sehingga hari ini hasrat mereka untuk melihat UMNO terkubur adalah gagal.

“Oleh kerana kerakusan kerajaan yang baru menang ketika itu, mereka telah mengambil tindakan perundangan dan UMNO dituduh dengan pelbagai tuduhan politik bertujuan melemahkan ahli parti.

“Mereka berbuat demikian kerana kemenangan itu tidak begitu selesa, maka mereka membuat pelbagai cara untuk mendapatkan sokongan dari wakil rakyat UMNO untuk lompat menjadi ahli mereka,” katanya lagi. 

BERITA BERKAIT
POPULAR