
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempersoalkan kes rasuah Zahid dihentikan sebelum ini.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak yakin bekas Peguam Negara (AG) akan hadir bagi memberi penjelasan berhubung langkah kerajaan menghentikan prosiding kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Untuk rekod, Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) sebelum ini mahu memanggil bekas AG, Tan Sri Idrus Harun bagi menjelaskan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO itu daripada 47 pertuduhan kes rasuah.
“Apa perkiraan Idrus untuk membuat keputusan tersebut, kita tidak akan tahu selama-lamanya sebab saya rasa Tan Sri Idrus Harun tidak akan muncul untuk menjelaskan.
“Beliau akan bersara dan menghilang selepas pencen nanti. Kalau beliau datang pun, mungkin akan beri jawapan standard. Jawapan (ikut standard) penjawat awam,” katanya dalam Program Podcast Keluar Sekejap.
Pada Ahad, Pengerusi JKPK, William Leong Jee Keen berkata, pihaknya mengundang Idrus dan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh untuk terlibat dalam mesyuarat jawatankuasa itu untuk memberi penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit pada sidang Dewan Rakyat, bulan depan.
Katanya, jemputan itu adalah bagi membolehkan jawatankuasa berkenaan membuat penelitian menyeluruh berhubung beberapa isu termasuk cadangan memisahkan peranan Pendakwa Raya daripada Pejabat Peguam Negara, selain isu berkaitan keputusan kes Zahid.
Dalam pada itu, ujar Khairy lagi, selepas Perdana Menteri memberikan penjelasan berhubung isu tersebut di Dewan Rakyat pada Selasa, rakyat kini hanya boleh menuding jari kepada Idrus memandangkan beliau bertanggungjawab ke atas kes itu.
“Jawapan di Parlimen telah diberi, saya rasa tidak ada jawapan lagi yang Perdana Menteri boleh bagi sebab saya rasa beliau tidak akan perhalusi satu persatu hujah-hujah yang diterima oleh Peguam Negara sebab logiknya keputusan dibuat oleh Tan Sri Idrus.
“Saya tidak perlu ceritakan keputusan tersebut, ini memang hak dan kuasa dia sewaktu menjadi Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“Maka habislah cerita dan saya tidak campur tangan, itu yang Perdana Menteri cakap,” ujarnya.
Jelasnya, jika dilihat secara umum, Perdana Menteri seolah-olah cuba menokhtahkan isu itu namun akhirnya, rakyat yang menentukan sama ada hendak menerima atau masih tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
“Apa yang penting adalah pertamanya, terserah kepada rakyat sama ada hendak percaya atau tidak.
“Kedua, segala-gala kontroversi berkaitan isu DNAA Ahmad Zahid ini adalah atas Tan Sri Idrus Harun sahaja, selagi beliau tidak cakap apa-apa kita tunding jari kepada beliau sahaja,” jelasnya lagi.