
Video penuh makian dalam bahasa Cina itu tular di media sosial sejak kelmarin.
MCA mempertikaikan sikap pemimpin DAP yang bertindak terhadap ahlinya yang biadab pada majlis makan malam Jun lalu, hanya selepas video itu tular.
Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong membangkitkan perkara itu melalui satu hantaran di akaun TikToknya.
“Ramai yang bertanyakan kepada saya, siapa mamat yang begitu biadap dari DAP ini? Dan kepada Dr Akmal (Salleh), kawan lama saya, sekiranya anda nak mencari dia sebenarnya tak susah.
“Majlis yang diadakan pada bulan Jun baru-baru ini turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin DAP seperti Syahredzan Johan, Anthony Loke dan Steven Sim. Jangan pula anda kata anda tidak tahu dan tertanya-tanya bila perkara ini terjadi…hanya membuat tindakan selepas video ini viral.
“Kenapa anda sebagai pemimpin yang berada di situ tidak mengambil tindakan selepas perkara ini berlaku? Sehinggalah sekarang ini apabila viral baru membuat tindakan ke atas ahli anda,” tanyanya.
Anthony yang merupakan Setiausaha Agung DAP mengesahkan video lelaki yang sarat dengan makian dalam bahasa Cina pada satu majlis anjuran DAP di Selangor sejak kelmarin itu tulen namun katanya dia hanya ahli biasa dan sudah mengarahkan keahliannya digantung.
Klip video itu tular di media sosial dan dikecam netizen kerana melemparkan kenyataan perkauman, menghina PAS serta memperlekeh permohonan maaf UMNO dan MCA yang kini rakan gabungan PH.
Selain Anthony yang juga Menteri Pengangkutan, pemimpin kanan DAP lain yang berucap pada majlis itu termasuk Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Gobind Singh Deo; Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim serta Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Neow turut menambah bahawa itulah realiti sebenar yang mahu beliau tunjukkan kepada rakyat negara ini.
“Kebenaran akan terbukti. Berani bercakap kerana benar. Dan yang penting sekali MCA sudah bersuara, bagaimana pula dengan UMNO?,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh lantang menuntut Anthony mencari lelaki biadab tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka.