
Datuk Zulkafperi Hanapi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dicadangkan supaya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen bagi memberi penjelasan berhubung isu kalimah Allah, kata Datuk Zulkafperi Hanapi.
Ahli Parlimen (MP) Tanjong Karang itu berkata Anwar yang juga MP Tambun itu didakwa mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kenyataannya mengenai isu “Allah” dalam mewajarkan keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland.
“Pada 23 Mei, Tambun (Anwar) menafikan tidak merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dalam menarik balik rayuan kes Allah.
“Datuk Idris Ahmad (MP Bagan Serai) tanya kepada perdana menteri sama ada kerajaan ada merujuk kepada Raja-raja Melayu dan majlis-majlis agama Islam negeri sebelum mereka ‘senyap-senyap’ menarik balik rayuan berhubung kes itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Untuk rekod, Anwar pada 23 Mei lalu memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa dia telah merujuk dengan Raja-raja Melayu dan majlis agama Islam negeri sebelum memutuskan untuk menarik balik rayuan itu.
Zulkafperi mendakwa Sultan Selangor dalam satu kenyataan berkata perkara itu tidak dirujuk atau dibincangkan dengan baginda.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titahnya supaya isu itu dirujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja untuk membuat keputusan muktamad berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
Pada 15 Mei, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Notis pemberhentian rayuan yang difailkan pada 18 April lepas itu menyatakan bahawa kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.