
Hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar Klang dan Shah Alam, Selangor mengalami banjir sebelum ini.
Isu air tidak wajar dijadikan modal politik untuk menyerang kerajaan negeri Kelantan, kata Tan Sri Noh Omar.
Bekas Pengerusi UMNO Selangor yang dipecat Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata malah masalah air turut dihadapi di Selangor walaupun dianggap sebuah negeri maju dan sekarang berdepan pula masalah banjir kilat.
“Bila sebut masalah air semua kaitkan dengan Kelantan sedangkan bukan Kelantan sahaja berdepan masalah itu, saya sendiri yang tinggal di Selangor dan masalah sama juga berlaku di negeri maju.
“Ketika saya menjadi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), saya terpaksa mengarahkan pihak bomba untuk bantu salurkan air dan sehingga kini masalah itu tidak selesai.
“Begitu juga dengan bencana banjir, apabila sebut sahaja banjir akan dikaitkan denga Kelantan sedangkan situasi sekarang sudah berubah.
“Siapa sangka Selangor tiba-tiba mendapat banjir kilat yang lebih teruk berbanding Kelantan. Justeru jangan memandang rendah kepada Kelantan dengan mengaitkan isu air dan banjir,” katanya menurut laporan BH.
Beliau berkata demikian ketika Program Sembang Santai bersama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera, di sini, malam tadi.
Pada masa sama, Noh turut menegaskan, siapa sahaja yang memerintah, menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk memberi pertolongan dan bantuan kepada negeri tanpa mengira fahaman politik.
“Jangan ingat Kerajaan Madani sahaja yang bantu Kelantan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini juga sudah banyak membantu Kelantan,” katanya.
Beliau berkata, apa yang mahu dilakukan kerajaan campuran termasuk subsidi bersasar dan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun adalah perkara yang sudah dilaksanakan kerajaan sebelum ini.