
Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Afnan Hamimi Taib Azamuddin menyindir pegawai Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai “luar tabii” ekoran gesaan supaya diambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.
Shamsul Iskandar yang juga Pengerusi Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik (Setpol) kerajaan campuran tidak berpuas hati terhadap Radzi yang mengkritik bossnya di dalam Dewan Rakyat sebelum ini dengan kenyataan keras “saya yakin Tambun peliwat”.
“Nak tanya. Sejak bila Setiausaha Politik (Supol) boleh beri tekanan kepada Menteri? Boleh gesa buat itu buat ini?
“Biasanya Supol atau Setpol menerima arahan dari Menteri, bukannya memberi arahan atau tekanan kepada Menteri.
“Setakat ini, hanya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan Menteri sahaja yang ada pegawai bertaraf Supol,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan portal Harakah.
Afnan Hamimi berkata tidak pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran seorang Setpol memberi arahan kepada individu yang lebih atas daripadanya dan menyifatkan gesaan Shamsul Iskandar sebagai satu luar kebiasaan atau “luar tabii”.
“Kedudukan Supol lebih rendah dari Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri.
“Belum pernah lagi dengar orang yang jawatan lebih rendah kedudukannya boleh beri gesaan, tekanan atau arahan kepada orang yang lebih tinggi darinya.
“Ini semua luar tabie!” ujarnya lagi.
Terdahulu, Shamsul Iskandar meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk memulakan usaha menggantung tugas Radzi sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen.
“Adalah amat menjengkelkan apabila seorang bekas Menteri Kanan gagal menghayati prinsip Rukun Negara…Kesopanan dan Kesusilaan.
“Tindakan biadap Radzi yang ditunjukkan kepada seluruh negara tidak wajar dibiar begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketika sesi penggulungan baru-baru ini, Radzi diarah keluar daripada Dewan berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar ibrahim yang dikatakan mencalar maruahnya dan berulang kali meminta menarik balik kenyataannya.
Keadaan itu menyebabkan berlaku kekecohan kira-kira 40 minit apabila berlaku pertikaman lidah antara beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan yang bangun serentak mempertahankan hujah masing-masing.