
Sidang media oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bersatu akan mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen (MP) mereka yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana melanggar pendirian parti tersebut.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan dua lagi MP dari parti itu yang menukar sokongan melanggar peraturan parti dan hukuman akan ditentukan Lembaga Disiplin pada masa terdekat, ia ekoran dua lagi wakil rakyat baru-baru ini yang menyatakan sokongan kepada Anwar.
“Tindakan ini amat tidak bertanggungjawab, bertentangan dengan semangat dan perlembagaan parti dan melanggar peruntukan sedia ada.
“Lembaga Disiplin parti akan bersidang dalam masa terdekat dan hukuman akan dijatuhkan kepada kedua-duanya,” katanya pada sidang media malam tadi.
Muhyiddin terdahulu mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Hadir sama, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; dua Naib Presiden, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Muhyiddin mengakui apa yang dilakukan oleh MP tersebut menimbulkan prasangka terhadap parti.
“Saya nak nyatakan kepada penyokong PN umumnya dan Bersatu khasnya, tindakan mereka ini tidak mendapat sokongan kita.
“Kita sedar hampir semua MP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertanding atas tiket PN mendapat sokongan besar daripada sebahagian besar pengundi terutama dalam kalangan pengundi Melayu, bukan Bumiputera dan sedikit dalam kalangan bukan Melayu.
“Untuk mempertahankan prinsip yang diperjuangkan, kita tidak berkompromi dengan tindakan biadab, tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan prinsip perjuangan Bersatu.
“Atas jaminan ini, kita akan lakukan apa yang sesuai supaya hukuman dapat dikenakan terhadap mereka dan kita mohon rakyat terus memberi kepercayaan dan keyakinan untuk kita menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya.
Setakat ini, empat MP pembangkang daripada PN menyatakan sokongan secara terbuka terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.
Ia bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman Suhaili (30 Oktober); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
Sebelum ini, Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Iskandar Dzulkarnain dan Suhaili, masing-masing empat dan enam tahun.