Hasrat MUDA sertai PH terus dapat tentangan pemimpin PKR

September 10, 2022 · Politik

Hasrat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terus mendapat tentangan daripada parti komponen lain, terutama PKR.

Ini kerana Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat oleh sesetengah pihak sebagai terlalu rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang secara meluas tidak diyakini oleh barisan kepimpinan PKR.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar itu dilihat sebagai anak didik Dr Mahathir dalam bidang politik dan memegang jawatan menteri Kabinet era PH.

Bagaimanapun, selepas keruntuhan PH, Dr Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang berteraskan orang Melayu manakala Syed Saddiq pula menubuhkan MUDA yang menerima keanggotaan pelbagai kaum.

Sebelum ini, hasrat MUDA untuk menyertai PH mendapat bantahan daripada anak muda dan akar umbi parti reformasi itu, menerusi kenyataan Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim.

Hari ini, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang pula menyatakan mungkin sudah terlambat bagi pakatan itu untuk memproses permohonan MUDA menjadi parti komponen PH.

“Untuk menyertai parti komponen, saya rasa ia bukan waktu yang sesuai kerana ia memerlukan beberapa jangkaan.

“Untuk menjadi sebahagian daripada gabungan itu, parti komponen sedia ada perlu diyakinkan bahawa parti baru itu berkongsi ideologi dan nilai PH yang sama,” katanya ketika temu bual dengan Kinitv.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tanjung Malim itu terbuka kepada kemungkinan MUDA yang baru ditubuhkan untuk bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya.

“Tiada masalah kerjasama (dengan MUDA) cuma dalam bentuk apa,” katanya.

Chang berkata PH harus lebih memberi tumpuan kepada perkara berkaitan pilihan raya umum seperti rundingan kerusi, menetapkan naratif, strategi dan manifesto pilihan raya.

Bagaimanapun katanya perkara itu terpulang kepada Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan.

Sementara itu, pengalaman bersama Bersatu yang menjadi sebahagian gabungan PH pada PRU-14 telah menyebabkan beberapa pemimpin PKR ‘berat hati’ menerima idea kerjasama dengan parti selain DAP dan AMANAH.

Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata kebimbangan ini juga perlu diambil kira sebelum menerima MUDA.

“Terutama selepas percubaan kami yang gagal pada (PRU-14) apabila kami memasukkan Bersatu, yang ideologinya berbeza dengan kami.

“Kita lihat MUDA dan Syed Saddiq, sukar untuk memutuskan hubungannya dengan Mahathir. Ini perkara yang diperhatikan ramai orang,” katanya.

Berita berkaitan
Isu RM750 juta, PAS minta PMX beri penjelasan jangan melulu buat tuduhan
January 10, 2024· Politik
Yasin bebas pertuduhan kes dadah, diarah ke Hospital Bahagia
November 29, 2023· Isu semasa
Wahab dalam kemurungan belum boleh keterangan, kata peguam
November 27, 2023· Politik
PAS bidas kenyataan biadab MP PKR dalam isu poligami, dakwa sentuh 3R
November 27, 2023· Politik
Popular
Pengundi sudah matang: Hamzah
October 17, 2022
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024
PAS faham dan jaga semua kaum: Muhyiddin
March 5, 2022
Lagi Politik terkini
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
April 27, 2024 · Politik
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024 · Politik
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024 · Politik
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024 · Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok