
Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa supaya menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk parti politiknya sahaja, kata Afnan Hamimi Taib Azzamudden.
Ahli Parlimen Alor Setar itu membidas Perdana Menteri (PMX) yang tidak memberi layanan adil kepada negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN), malah peruntukan juga disekat hanya kerana rakyat tidak memilih kerajaan campuran semasa pilihan raya.
“Hang kena ingat hang tu Perdana Menteri, bukan Perdana Menteri PKR, bukan Pakatan Harapan… Perdana Menteri untuk untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Dia tak boleh menafikan hak rakyat untuk memilih rakyat nak pilih siapa, itu hak mereka dalam pilihan raya… . Ni tak habis-habis berpolitik, bermusuh, mengamalkan musuh kepartian, menjadikan parti-parti lawan sebagai musuh dendam kesumat membara. Kita bukan cakap kosong… Berlaku depan mata di Dewan Rakyat,” katanya semasa berceramah di Dataran Purnama, Simpang Pelangai malam tadi.
Untuk rekod, kerajaan campuran juga tidak memberikan sebarang peruntukan kepada wakil rakyat PN dan alasan diberikan kerana tidak berunding terlebih dahulu.
Langkah tersebut dilihat berbeza semasa janji dibuat Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk tidak menyekat peruntukan kepada semua wakil rakyat yang menang pilihan raya.
Beliau juga menyifatkan kerajaan campuran gagal menangani masalah harga barang yang naik, kejatuhan mata wang dan terbaharu isu melibatkan bekalan beras yang tiada dipasaran.
“Sekarang kamu jadi kerajaan, hang buat apa? Harga barang naik, beras tidak ada, ringgit jatuh… mana formula sebelum ini?” katanya lagi.
Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Pelangai N36 diadakan susulan kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada UMNO, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
UMNO meletakkan Datuk Amizar Abu Adam manakala PN sekali lagi menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Kasim Samat, 62.
Seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga disahkan bertanding.