
Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhenti ‘bertindak dengan cara politik partisan’.
Tegasnya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan beberapa pegawainya menyalahgunakan kuasa mereka dalam kes mengaitkannya dengan kes rasuah RM15 juta melibatkan seorang ahli perniagaan baru-baru ini.
“(Azam) dan beberapa pegawai SPRM menyalahgunakan kuasa mereka, melakukan misfeasans dalam jawatan awam, dan berpakat untuk menggambarkan saya sebagai seseorang yang telah melakukan kesalahan,” katanya pada sidang media di Publika, hari ini, lapor FMT.
Malam tadi, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mengumumkan akan menghantar surat tuntutan kepada kerajaan dan SPRM
Dalam surat tuntutannya, beliau mendakwa Datuk Seri Sim Choo Thiam diugut oleh pegawai SPRM dan memaksanya mengaku ada memberi rasuah kepada Hamzah jika mahu dibebaskan.
Hamzah turut mendakwa, sepanjang siasatan dijalankan, telah dijelaskan kepada pegawai terbabit bahawa beliau tidak terlibat dalam sebarang kegiatan rasuah.
“Akaun bank anak guam kami (Hamzah) dibekukan tanpa sebab atau justifikasi munasabah.
“Dan tiada kenyataan pernah dirakam daripada anak guam kami bagi mendapatkan versi ceritanya mahupun membenarkannya memberikan penjelasan sehingga selepas Sim didakwa di mahkamah,” menurut surat yang dikeluarkan oleh Tetuan Chetan Jethwani & Company.
Pada 10 Mei lalu, Datuk Seri Sim Choo Thiam, 54 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah dan tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM15 juta yang kononnya berlaku dua tahun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Sim didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.
Ia sebagai dorongan untuk Hamzah yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.