
Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dicalonkan GTA Negeri Sembilan untuk menentang Tok Mat di Parlimen Rembau pada PRU-15 tidak lama lagi.
Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan yakin mampu memecahkan tembok kuat UMNO di Parlimen Rembau jika bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersetuju mewakili gabungan itu bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail berkata, walaupun Abdul Hamid bukan ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), namun GTA bersedia memberi ruang kepada semua termasuk individu tertentu yang mempunyai nama besar.
“Bagi saya buat masa ini dialah (Abdul Hamid) calon paling terbaik untuk GTA di Parlimen Rembau. Lagipun dia memang orang Rembau.
“Nak pecahkan tembok yang besar, kita perlu letakkan nama yang besar seperti beliau, lebih-lebih lagi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dikhabarkan akan bertanding di situ kali ini,” katanya lapor Sinar Harian.
Menurutnya, nama Abdul Hamid dicadangkan kerana beliau disifatkan seorang yang berani bercakap benar dan tegas seperti mana ditunjukkan ketika dalam perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara.
Tambah Mohamad Jani, ciri-ciri kepimpinan sebegitu sememangnya diharapkan oleh rakyat.
“Kalau kita nak betulkan negara, kita perlu letakkan orang ada ciri-ciri begitu.
“Kalau setakat nak letak calon bertanding, saya selaku ketua negeri pun boleh. Tapi hasrat kita, kita nak menang dan boleh bawa suara rakyat dalam Parlimen,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, hasrat itu tidak pernah dibincangkan bersama Abdul Hamid dan hanya disuarakan kepada Timbalan Pengerusi GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bulan lalu.
“Saya rasa yang hanya boleh pujuk dia (Abdul Hamid) Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad saja,” katanya.
Sementara itu, difahamkan situasi politik UMNO bahagian Rembau terus ‘panas’ susulan ‘arahan’ supaya penyandang kerusi Parlimen itu Khairy Jamaluddin memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
UMNO bahagian itu dikatakan berpecah kepada dua apabila sesetengahnya menyokong Mohamad atau dikenali Tok Mat bertanding di kawasan Parlimen berkenaan, manakala sebahagian yang lain mahu Khairy yang juga Menteri Kesihatan dikekalkan.
Mohamad telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di Rembau beberapa tahun lalu, dan baru-baru ini mengulanginya.
“Apa yang boleh saya buat? Dia adalah bos,” kata Khairy awal bulan ini.
Ditanya apakah senario terburuk, Khairy berkata: “Saya tidak bertanding. Tidak mengapa dan saya baik-baik saja.”
Kemelut perebutan kerusi Parlimen Rembau bermula setelah Khairy mendedahkan beliau menerima mesej jelas daripada Tok Mat meminta diberi laluan, dan diarah mencari kawasan lain.
“Saya (baru-baru ini) menerima satu mesej daripada (Timbalan Presiden UMNO) Mohamad (Hasan) untuk memberi laluan.
“Saya akan ikut apa yang UMNO mahu dan di mana mereka mahu saya bertanding. Tak apa. Saya belum terima sebarang arahan. Saya akan berasa malu untuk ceroboh kawasan lain.
“Tak apa. Senario terburuk, saya tidak akan bertanding,” kata Menteri Kesihatan itu.