
Menteri Alam Sekitar dan Air kerajaan sementara Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menuntut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat permohonan maaf berkait tuduhan dilemparkan, Isnin lalu.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata pihaknya yakin tindakan Rafizi itu bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya dan parti Islam itu.
“Saya telah meminta pihak firma Yusfarizal Aziz & Zaid untuk membuat tuntutan kepada Mohd Rafizi bin Ramli atas tuduhan dan penyataan fitnah terhadap saya pada 7 dan 9 November 2022.
“Saya yakin tindakan Mohd Rafizi bin Ramli adalah didorong oleh niat jahat dan hanya sekadar tindakan sensasi bagi menjatuhkan reputasi saya dan PAS terutama dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang sedang berlangsung sekarang.
“Saya juga percaya tindakan fitnah ini direncana untuk mengalih perhatian terhadap isu laporan kewangan dan saham Invoke yang kini sedang dipertikaikan oleh banyak pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Rafizi juga dituntut membuat aku janji bertulis untuk berhenti menerbitkan atau mengeluarkan dalam apa cara sekalipun kenyataan serupa.
Malah melalui surat tuntutan itu, firma guaman mewakili Tuan Ibrahim mencadangkan Rafizi membayar satu jumlah ganti rugi terhadap anak guamnya itu.
Isnin lalu, Rafizi dalam satu sidang media menuntut penjelasan Tuan Ibrahim berhubung status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.
Rafizi mendakwa, berdasarkan sumber dalaman, kementerian diteraju Tuan Ibrahim itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender tersebut secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam kenyataan balas pada Selasa memaklumkan, tiada sebarang rundingan mahupun perbincangan berlaku dalam tempoh kerajaan peralihan seperti didakwa.
Beliau menegaskan, tidak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan dan tiada mana-mana pihak yang datang berjumpanya bagi meminta kelulusan RM2 bilion itu.
Tuan Ibrahim juga menggesa Rafizi agar melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mempunyai bukti.