
Ahmad Fadhli Shaari.
Ahmad Fadhli Shaari mempertikaikan fitnah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu dana judi yang sehingga hari ini gagal dibuktikan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu mempersoalkan isu dana judi tersebut yang masih tidak selesai siasatannya walaupun Anwar sebelum ini berulang kali membuat tuduhan terhadap Perikatan Nasional (PN) membabitkan dana semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Ahmad Fadhli berkata sudah dua kali mengemukakan soalan sama berhubung status siasatan terhadap dakwaan itu, tetapi jawapan diterima masih seperti sebelumnya.
“Seperti yang dijangka, jawapannya ialah ‘masih dalam siasatan’. Ingatkan tempoh hari dan ada saksi yang tampil, sepatutnya boleh selesailah, rupa-rupanya masih belum ada perkembangan lanjut!
“Nah, sekarang siapa yang menabur fitnah? Ooo… jika yang menabur fitnah itu ialah pemimpin tuan-tuan, ia halalkah kot?” katanya dipetik dalam laporan Harakah Daily.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said dalam jawapannya memberitahu, isu tersebut masih dalam siasatan SPRM.
“Justeru, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut mengikut subseksyen 29(4), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [Akta 694].
“Yang menyatakan bahawa mana-mana siasatan tersebut hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang sehinggalah orang tertuduh dipertuduhkan di mahkamah.
“Pada masa yang sama, selain SPRM, terdapat juga agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“(Iaitu) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti. Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa (time limit) untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah,” ujarnya.