
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengulas berhubung kenyataan Datuk Puad Zarkashi yang mengkritik Rafizi Ramli.
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan tidak adil untuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi yang menyalahkan Rafizi Ramli seorang kerana gagal mencari formula untuk membantu rakyat.
Aktivis politik Bersatu itu memberi reaksi terhadap kenyataan Puad yang menyindir Menteri Ekonomi itu kerana gagal mencari formula, sebaliknya Tun Faisal berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadi punca kepada permasahan dihadapi rakyat ketika ini.
“Tapi kegagalan kerajaan hari ni bukan pasal Rafizi. Kegagalan kerajaan hari ni pasal PM10 Anwar yang tak fokus kerja, pegang banyak jawatan, banyak jalan sana jalan sini, banyak ceramah sana ceramah sini, banyak salah guna aset kerajaan, banyak main politik, angkat Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid hamidi) yang dikaitkan dengan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, pengubahan wang haram sebagai TPM (Timbalan Perdana Menteri) dan cakap tak serupa bikin.
“Kegagalan kerajaan hari ni adalah kerana kegagalan kepimpinan Anwar sebagai PM, hala tuju tak jelas, dasarnya samar, pelaksanaannya bercelaru. Kerajaan hari ni juga berada dalam penafian, defensif dan bersikap ‘kami tak pernah salah, yang salah tetap rakyat, peniaga dan penjawat awam’,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Menurutnya lagi, Anwar sendiri gagal menunjukkan contoh yang baik dan ia menyebabkan barisan pentadbirannya juga lemah sehingga tidak dapat mencari penyelesaian untuk membantu rakyat.
“Bila PM gagal menunjukkan kepimpinan yang baik, visi dan misi yg jelas, teladan yang betul, seluruh jemaah menteri dan jentera kerajaan pun akan mempunyai sikap yang tak betul terhadap kerja mereka dan terhadap rakyat.
“Sebab itu rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Anwar sebagai PM10 dan kerajaan hari ni berhadapan dengan krisis keyakinan,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, kerajaan campuran diketuai Anwar menghentikan prosiding perbicaraan 47 kes rasuah dihadapi Presiden UMNO yang juga anak muridnya.
Walaupun berdepan kritikan, Anwar mempertahankan Peguam Negara yang tidak meneruskan pendakwaan terhadap Zahid walaupun sudah terdapat prima facie dalam perbicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi sebelum ini.
Terdahulu awal hari ini, Puad membidas Rafizi kerana masih gagal mencari formula ekonomi yang dapat membantu rakyat.
“Rafizi masih gagal menawarkan formula luar biasa untuk ekonomi rakyat.
“Setakat formula masak dan makan di rumah itu biasa biasa,” katanya dalam kiriman di Facebook.
Puad merujuk kepada kenyataan Rafizi baru-baru ini yang mengaitkan masalah kewangan yang dihadapi rakyat Malaysia dengan “ketagihan” untuk makan di luar.
“Di negara lain, makan di luar dilihat sebagai perkara riadah. Kita membelanjakan lebih banyak wang untuk membeli bahan mentah, memasak, dan memakannya, sekali-sekala, kita akan keluar (untuk makan),” katanya kepada portal berita pro-kerajaan Malaysiakini.
Rafizi juga menyalahkan “dasar masa lampau” untuk beralih daripada pertanian serta pengangkutan awam yang lemah, yang katanya memaksa isi rumah untuk terus hidup dengan membeli makanan.
“Ia juga mengenai masa yang diluangkan oleh orang ramai untuk pergi dan balik dari tempat kerja, dan berapa banyak masa yang ada apabila mereka pulang dari kerja untuk menyediakan makanan.
“Jadi ini semua perkara yang saya fikir adalah akibat yang tidak diingini daripada banyak dasar masa lalu,” katanya dipetik sebagai berkata.