
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Susulan keputusan mahkamah yang memihak kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuahnya hari ini, PAS menggesa semua pihak menghormati keputusan yang dibuat oleh hakim.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat pihak mahkamah dan menyifatkan keputusan dibuat oleh hakim perbicaraan kes Zahid sudah tentu mempunyai asasnya,
“Kita menghormati keputusan mahkamah. Setiap keputusan akan ada yang gembira dan akan ada yang dukacita, namun negara ini ada sistem dan menjadi ikrar bersama untuk menjunjung kedaulatan undang-undang.
“PAS menggesa agar masyarakat perlu dididik menghormati keputusan mahkamah, dalam apa jua keputusan, jangan bila kita setuju kita sokong keputusan (mahkamah), bila kita tak setuju kita bantah.
“Hakim mempunyai asas dalam membuat sesuatu keputusan dan dia bertanggungjawab dunia akhirat dengan keputusannya,” katanya dipetik laporan FMT.
Presiden UMNO itu hari ini dibebaskan Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada 40 pertuduhan rasuah melibatkan kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).
Pada 26 Jun 2019, Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem VLN.
Bagaimanapun pada 31 Julai 2019, mahkamah membenarkan permohonan bekas Menteri Dalam Negeri itu untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dibicarakan bersama-sama 33 lagi pertuduhan rasuah membabitkan VLN.
Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan bersama.
Zahid didakwa terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada syarikat UKSB sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali OSC di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Zahid didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.
Bagi tujuh pertuduhan lagi, Zahid turut didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc; dan US$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.
Zahid dituduh melakukan perbuatan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017.
Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.