
Mike Chong Yew Chuan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menggugurkan Menteri Kewangan sedia ada daripada barisan Kabinet, kata MCA.
Jurucakapnya, Mike Chong Yew Chuan mencadangkan seorang Menteri Kewangan sepenuh masa perlu dilantik dan tidak memegang jawatan lain pada masa sama dalam kerajaan, ia susulan spekulasi bakal berlaku rombakan dalam pentadbiran kerajaan campuran pada masa terdekat.
“Berikutan itu, kami menyeru Perdana Menteri mempertimbangkan untuk mengambil pilihan yang disebutkan di atas untuk memberi tumpuan yang lebih baik dalam menyelesaikan dilema ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Anwar yang juga Perdana Menteri pada masa sama turut memegang jawatan Menteri Kewangan.
Yew Chuan yang baru-baru ini dipilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda MCA, turut mencadangkan agar Anwar memecat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kerana didakwa hanya menimbulkan kontroversi dan gagal melaksanakan tugas mereka.
Menerusi kenyataan dalam versi bahasa Cina, beliau juga meminta Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ditukar.
Dakwanya, Rafizi gagal mengukuhkan ekonomi negara dan pendapatan rakyat, sebaliknya meminta orang ramai memasak sendiri di rumah dan tidak makan di luar.
Selain itu, Chong berkata Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu pula gagal menyelesaikan masalah kekurangan telur dan beras yang dihadapi negara.
“Dia bukan sahaja gagal menghalang masalah ini daripada berlaku, malah juga gagal menangani kenaikan harga barangan keperluan harian yang mendadak,” katanya.
Sementara itu, Yew Chuan juga berkata Kor Ming perlu digugurkan daripada kabinet kerana terus bertindak seperti ahli politik pembangkang walaupun kini menjadi menteri.
Beliau membangkitkan tindakan Kor Ming memalukan mendiang aktres Hong Kong, Lydia Shum semasa ceramah dalam kempen pilihan raya kecil di Pelangai dan meletakkan logo DAP pada cek olok-olok ketika menyampaikan sumbangan kerajaan kepada beberapa sekolah.
“Dia telah mencemarkan imej kabinet dengan teruk dan merupakan salah seorang menteri yang mesti dipertimbangkan untuk digantikan,” katanya lagi.