
Khairy Jamaluddin dipecat UMNO ekoran pertembungan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim patut melihat kembali apa nilai yang dibawa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan partinya, UMNO dalam kerajaan perpaduan hari ini.
Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin membangkitkan perkara itu dalam program The Breakfast Grill, BFM hari ini.
“Saya percaya perdana menteri memerlukan kerajaan yang stabil dan untuk mewujudkan kerajaan yang stabil itu beliau perlu mempunyai rakan gabungan…gabungan pasca pilihan raya dalam kes ini yang boleh menambah nilai kepada kerajaannya.
“Persoalan yang perlu ditanya oleh perdana menteri sendiri, adakah UMNO dan Zahid menambah pada nilai kerajaannya?” katanya.
Khairy berkata beliau percaya Anwar mahukan kerajaan yang stabil namun perkembangan semasa dalam parti rakan sekutunya, UMNO itu jelas memberi kesan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Saya tidak mahu menyatakan ini dari sudut kepentingan peribadi, tetapi saya akan menjawab soalan ini dengan memberi tumpuan kepada keputusan yang telah dibuat dan bukannya mereka yang digantung atau dipecat.
“Ya, saya fikir UMNO akan terjejas, kerana saya rasa orang ramai memberi reaksi yang sangat negatif terhadap keputusan yang dibuat oleh Zahid,” katanya yang dipecat UMNO, Jumaat lalu.
Selain Khairy, turut dipecat bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Menyentuh soal keinginannya untuk bertanding bagi jawatan Presiden UMNO sebelum ini, Khairy berkata beliau hanya mahukan satu pertandingan yang terbuka.
“Secara peribadi, saya hanya mahukan pertandingan terbuka kerana hakikatnya beliau menjadi pengerusi ketika parti mengalami kekalahan paling buruk dalam pilihan raya…dan apa yang saya mahu sangat mudah.
“Jika Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) diminta berundur sebagai presiden selepas kami kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, jika Najib (Datuk Seri Najib Razak) diminta berundur selepas pilihan raya 2018…paling tidak anda boleh lakukan, jika anda tidak mahu berundur…sekurang-kurangnya membuka pemilihan parti secara terbuka dan biarkan ahli membuat keputusan,” katanya lagi.