
Datuk Seri Amirudin Shari.
Lima portfolio utama negeri dipegang Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor buat kali kedua.
Portfolio dipegang Amirudin itu termasuk pembangunan tanah & sumber alam; serta kewangan & tindakan ekonomi; pemodenan pentadbiran & pendigitalan kerajaan; komunikasi strategik; serta pendidikan & pembangunan modal insan.
Amirudin mengumumkan portfolio Exco negeri selepas mempengerusikan mesyuarat pertama bagi penggal ke-15 hari ini.
Pada Isnin lalu, Amirudin mengumumkan bekas speaker, Ng Suee Lim dan enam muka baharu dilantik sebagai Exco, selain mengekalkan tiga Exco yang berpengalaman.
Enam muka baharu itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Anfaal Saari, V Papparaidu (Banting) dan Dr Mohammad Fahmi Ngah (Seri Setia).
Turut dilantik, ADUN Sungai Air Tawar dari UMNO, Datuk Rizam Ismail, Najwan Halimi (Kota Anggerik) dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama).
Exco yang berpengalaman penggal lalu dan dikekalkan ialah Ng Sze Han (Kinrara), Ir Izham Hashim (Pandan Indah) dan Borhan Aman Shah (Tanjong Sepat).
Izham dilantik bagi portfolio kemajuan prasarana serta pemodenan pertanian & perladangan; Borhan menggalas perumahan & pembangunan bandar lestari serta kebudayaan, adat istiadat Melayu, & warisan; manakala Ng dipertanggungjawabkan dengan pelaburan & perdagangan, pembangunan industri kecil dan sederhana & wilayah ekonomi baharu, serta mobiliti.
Sepuluh wakil rakyat itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Alam Shah, Klang.