
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun penjara setelah kekal didapati bersalah melibatkan RM42 juta dana SRC International.
Janji untuk membebaskan Datuk Seri Najib Razak yang sedang terpenjara dituntut akar umbi agar ditunaikan pemimpin atasan parti itu.
Beberapa akar umbi yang ditemui semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 rata-rata kecewa apabila pemimpin atasan parti yang dilihat seakan melupakan janji untuk membebaskan bekas perdana menteri itu, malah tidak ada lagi kedengaran suara lantang seperti sebelum ini.
Sepanjang persidangan sayap berlangsung hanya Pemuda UMNO yang dilihat masih mengenang jasa Najib kepada parti itu, malah memberi anugerah khas kepadanya sebagai tanda penghargaan.
Manakala semasa sidang sayap Puteri dan Wanita UMNO, isu yang ditumpukan pula hanya kepada hubungan kerjasama antara UMNO dengan DAP dalam kerajaan campuran.
“Adakah pemimpin atasan seakan melupakan Najib yang sedang dipenjara?” kata seorang akar umbi yang ditemui semasa PAU semalam.
Sebelum ini, pemimpin atasan dilihat lantang dan berani bersuara dalam memperjuangkan nasib Najib, tetapi mengapa kini diam membisu seribu bahasa, soal akar umbii parti itu.
Antara yang menjadi tanda tanya dikalangan akar umbi, apakah kemaskini berhubung proses pengampunan yang sebelum ini dimohon UMNO bagi membebaskan Najib.
“Bagaimana dengan pengampunan Najib? Mengapa sekarang ini seolah cuba mendiamkan diri daripada bercakap mengenai soal pengampunan Najib?” soal seorang lagi akar umbi yang tidak mahu dinamakan.
Untuk rekod, UMNO pada April lalu memohon untuk meminta pengampunan Najib kepada Lembaga Pengampunan.
Majlis Tertinggi UMNO memohon pertimbangan supaya Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi pengampunan penuh kepada Najib, yang kini menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun, keputusan UMNO tersebut menerima kritikan daripada parti politik dalam kerajaan campuran sendiri yang dilihat tidak senang dengan tindakan tersebut.
Malah, timbul konflik pendapat antara sesama parti dalam kerajaan campuran khususnya Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak bersetuju dengan usaha tersebut.
Dalam pada itu, akar umbi yang ditemui juga tidak menolak akan memboikot Pilihan Raya Negeri (PRN) jika tiada satu kepastian daripada UMNO berhubung langkah untuk membebaskan Najib pada PAU kali ini.
“Jika tiada pendirian yang tegas dalam isu Najib, dijangka akar umbi akan memboikot PRN kali ini,” katanya lagi.