
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Susulan krisis politik negara tanpa noktah sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkongsi kisah tugas berat digalasnya dalam memilih Perdana Menteri (PM) baharu sepanjang tempoh tersebut.
Krisis politik sebelum ini bermula selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan disusuli pulainsiden beberapa pemimpin UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan ketika negara sedang berdepan krisis kesihatan Covid-19, malah tular klip audio perbualan antara cikgu dan anak murid sebelum ini.
Baginda menjadi satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah negara dengan empat Perdana Menteri serta empat jemaah menteri yang berlainan, susulan kemelut politik berpanjangan sejak tiga tahun lalu.
“Beta bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke-7. Namun pada 24 Februari 2020, buat pertama kalinya beta dibawa ke kancah gelanggang kemelut politik tanah air, menerusi perletakan jawatan Perdana Menteri ke-7.
“Selaras dengan kuasa budi bicara yang diberikan kepada beta oleh Perlembagaan Persekutuan, beta selanjutnya mendapati Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020.
“Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 juga telah meletakkan jawatan pada 16 ogos 2021.
“Makanya, beta sekali lagi terpaksa menggalas amanah berat untuk memilih dan melantik perdana menteri yang baharu.
“Beta selanjutnya telah berpuas hati bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memperolehi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan selayaknya dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Parlimen Ke-15, hari ini.
Bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah memaklumkan Ismail Sabri pula memohon perkenan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU1-5), sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober tahun lalu.
Pelaksanaan PRU15 pula masih belum menamatkan kemelut politik negara selepas tiada parti mendapat majoriti mudah 112 kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan, sekali gus buat pertama kali dalam sejarah Malaysia berdepan dengan situasi Parlimen tergantung.
“Makanya, sekali lagi amanah berat untuk memilih dan melantik seorang perdana menteri terpaksa digalas oleh beta. Betapa berat mata yang memandang, tetapi berat lagi bahu yang memikul,” kata baginda.
Ketika itu, Al-Sultan Abdullah mengambil pendekatan membuka seluas-luasnya ruang kepada ahli Dewan Rakyat bermuafakat dan mencari kesepakatan atas prinsip perpaduan, bagi membolehkan baginda melantik perdana menteri dalam kalangan Ahli Parlimen yang memperolehi kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.
“Setelah mengambil pendekatan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, pada 24 November 2022 beta berkenan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“Secara ikhlas, beta berharap Perdana Menteri ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta, sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur.
“Namun, ini semuanya adalah ketentuan Allah SWT. Manusia merancang, Allah menentukan segalanya,” titah baginda.