
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diperintah membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Januari 2022 berhubung 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan CBT berhubung lebih RM31 juta dana YAB; 27 pertuduhan pengubahan wang haram; dan lapan pertuduhan rasuah lebih RM21.25 juta.
Bersatu mendesak penjelasan berhubung ketiadaan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Raja Rozela Raja Toran dalam kes perbicaraan rasuah melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sejak disambung pada Rabu lalu.
Spekulasi timbul selepas Raja Rozela secara mengejut tidak berada dalam pasukan pendakwa raya semasa kes Presiden UMNO itu bersambung minggu lalu, ia menimbulkan spekulasi kemungkinan beliau akan disingkir daripada menjadi salah seorang pendakwa raya.
“Saya menyeru peguam negara dan kerajaan untuk memberikan penjelasan segera dan terbuka, termasuk alasan yang kukuh, untuk penyingkiran atau menggantikan Raja Rozela.
“Ini penting untuk mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan jenayah kita,” kata peguam Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif dari Biro Perundangan & Perlembagaan parti.
Pada Khamis, NST melaporkan Raja Rozela, yang dilihat mengajukan soalan bertalu-talu terhadap Zahid semasa perbicaraan sebelum ini, tidak hadir sejak Isnin, dan juga tidak berada di mahkamah ketika perbicaraan disambung pada Rabu.
Akhbar itu bagaimanapun gagal mendapat maklum balas daripada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun serta seorang lagi timbalan pendakwa raya yang terlibat dalam perbicaraan, Mohd Dusuki Mokhtar.
Namun salah seorang peguam dalam pasukan pendakwaan berkata tidak dapat dipastikan sama ada Raja Rozela “dibuang secara kekal daripada kes itu”.
Sasha menyifatkan Raja Rozela sebagai “pendakwa raya yang berkesan dan bekerja keras”, sambil menambah beliau tegas sebagai pendakwa sepanjang perbicaraan, meskipun selepas pelantikan kontroversi Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun terpalit dengan 47 pertuduhan jenayah terhadapnya.
“Pendakwaan terhadap timbalan perdana menteri yang sedang berlangsung ini adalah perkara yang mempunyai kepentingan awam yang tinggi. Ia mesti dilihat dilaksanakan secara bebas dan telus, tanpa sebarang campur tangan,” katanya.
“Justeru, adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima Raja Rozela diganti tanpa sebarang alasan yang diberikan kepada orang ramai atau mahkamah.
“Pendakwaan jenayah mesti dibawa ke kesimpulan mereka, tanpa mengira status orang yang dituduh,” tambahnya.
Zahid berdepan 47 pertuduhan – 12 pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Antara pertuduhan CBT ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan Yayasan Akalbudi melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016.