
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kerajaan PH-BN.
“Saya tak peduli apa yang disebut dan ditohmahkan di luar ataupun dianggap ini (sebagai) satu tindakan politik,” kata Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik BH, beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Landskap Negara 2023 di Laman Sejahtera Taman D R Seenivasagam, Ipoh, hari ini (11 Mac 2023).
Kenyataan beliau itu dipercayai dikaitkan dengan pendakwaan terpilih bermotifkan politik terhadap beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa di mahkamah atas beberapa tuduhan yang dikaitkan dengan projek Jana Wibawa dan penerimaan dana politik daripada Yayasan Albukhari yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu, bukan poket beliau sendiri.
Bekas Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berpendapat penahanan Muhyiddin oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah dirancang lebih awal.
Kata Hamzah ini kerana kebanyakannya adalah pertuduhan yang masih baharu.
“Saya rasa penahanannya telah dirancang kerana kebanyakan pertuduhannya adalah tuduhan baru. Tiba-tiba, dia didakwa serta-merta.
“Mereka (SPRM) sepatutnya melakukan siasatan terhadap dakwaan baru itu lebih awal lagi,” kata Hamzah.
Sementara itu, Anwar juga dipetik sebagai berkata beliau tidak terganggu dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan kononnya tindakan membasmi ketirisan yang kini dilaksanakan kerajaan PH-BN, bermotifkan politik.
Tanpa merujuk mana-mana pihak secara terperinci, Anwar berkata dana negara, negeri, serta bandar raya tidak boleh diizinkan untuk diambil secara haram bagi memperkayakan segelintir pihak.
Begitu juga, katanya tidak mungkin diizinkan tanpa kecuali bagi sesiapa untuk merasa bebas ‘menggondol’ hak dan dana rakyat serta merasakan diri mereka boleh terlepas.
“Saya tak peduli apa yang disebut dan ditohmahkan di luar ataupun dianggap ini (sebagai) satu tindakan politik,” katanya sambil meminta rakyat percaya bahawa kerajaan PH-BN serius untuk bangkit dan memastikan perubahan.