
Majoriti UMNO negeri mahu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal 2023.
Jangkaan akar umbi UMNO akan memberi tekanan supaya pilihan raya umum (PRU) disegerakan pada mesyuarat sayap kali ini menepati ramalan, terkini Pemuda UMNO Kuala Terengganu hari ini membawa usul mendesak supaya Parlimen dibubarkan.
Pemuda UMNO Kuala Terengganu mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar segera membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU diadakan segera.
Gesaan itu disuarakan Ketuanya, Armi Irzan yang mahu PRU diadakan bagi membolehkan UMNO menjadi dominan semula dan tidak mengikut telunjuk pemimpin lain dalam kerajaan urusan pentadbiran negara.
“Kestabilan politik amat diperlukan kerajaan untuk mentadbir negara dan beberapa pimpinan parti turut menyokong PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan mandat rakyat.
“Menyedari rakyat dalam keadaan tertekan berikutan pelbagai tekanan dihadapi termasuk kemelut politik tidak menentu, Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan segera.
“Pemuda tidak mahu melihat Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera terus dianggap sebagai ‘tali pancing’ apabila joran dipegang pemimpin politik lain dalam kerajaan terutama membuat keputusan,” katanya lapor portal BH hari ini.
Gesaan itu dibuat Armi ketika mengemukakan usul pada persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, hari ini.
Mengulas kenyataan Ismail Sabri, yang menegaskan tidak akan tergesa-gesa mengadakan PRU-15 dengan alasan masih terdapat banyak urusan yang belum selesai, Armi berkata, kehendak ahli di peringkat akar umbi juga perlu diambil kira.
Dalam perkembangan lain, Armi Irzan yang juga pengerusi Skuad Sabil Kuala Terengganu menambah, Pemuda UMNO mendesak dan menuntut kerajaan PAS negeri menyalurkan wang hasil royalti minyak secara terus dan adil kepada rakyat.
Mengulas mengenai kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN), beliau berkata, Pemuda UMNO membuat ketetapan untuk akur dengan keputusan pimpinan tertinggi part dan bersedia bergerak secara solo menghadapi PRU umum akan datang jika kerjasama dua parti berakhir.
Terdahulu, Agenda Daily melaporkan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian berlangsung selama dua hari bermula hari ini dijangka akan memberi fokus berhubung usul untuk menyegerakan PRU bagi memberi tekanan terhadap Ismail Sabri.
Mesyuarat peringkat sayap amat penting memandangkan ia suara akar umbi parti itu yang kemudiaannya akan dibawa ke peringkat mesyuarat bahagian-bahagian UMNO, difahamkan usul berhubung persediaan PRU antara perkara utama yang akan dibincangkan.
Selepas selesai mesyuarat peringkat sayap, mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pula akan diadakan pada 18 Dis ini dengan disusuli Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 13 Januari tahun depan.
Isu berhubung menyegerakan PRU mula dibangkitkan selepas kejayaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, malah pemimpin kanan UMNO selepas PRN Melaka juga sudah bersuara agar PRU diadakan dengan segera bagi mengekalkan momentum kemenangan mereka.