
Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju.
Tindakan boleh diambil terhadap Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketua Penerangan Bersatu itu berkata Ali yang juga ahli parti itu bertanding tanpa mendapat persetujuan kepimpinan parti melanggar peraturan parti dan mereka akan meneliti bentuk tindakan boleh diambil terhadapnya.
“Peraturan yang sama terpakai di Sarawak dan parti akan membuat pengumuman yang sewajarnya berkaitan perkara ini,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini membuat pengumuman rasmi bahawa parti berkenaan dan PN tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak, sebaliknya akan membantu memastikan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Berikutan itu, Wan Saiful berharap semua ahli Bersatu diharap sama-sama berganding bahu memastikan kemenangan besar buat GPS dalam PRN Sarawak.
Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata tindakan Ali itu bertentangan dengan keputusan parti.
Katanya, Bersatu perlu meneliti perkara berkenaan dan membincangkan tindakan yang perlu diambil terhadap timbalan menteri terbabit.
“PN telah bersetuju untuk tidak mengambil bahagian pada PRN Sarawak dan menyatakan sokongan kepada GPS. Tindakan Ali tidak selari dengan keputusan parti, pastinya kami perlu meneliti perkara ini dan membincangkan tindakan yang perlu diambil,” katanya kepada BH.
Ditanya apa bentuk tindakan boleh diambil, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau tidak membuat keputusan bersendirian serta tidak boleh melangkaui perbincangan dan keputusan parti.