
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Bagi membuktikan kesiapsiagaan sebagai seorang menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini berkongsi nombor telefon peribadi kepada penduduk Kuala Lumpur sekiranya beliau atau Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias diperlukan.
Anggota Parlimen (MP) Arau itu juga turut berkongsi nombor telefon Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
Shahidan berkata, beliau dan timbalannya serta datuk bandar sentiasa bersedia 24 jam untuk menerima sebarang aduan berkaitan kerosakan jalan raya di ibu negara.
“Kami bersiap siaga. Rakyat Malaysia boleh hubungi. Yang baru datang Kuala Lumpur, jumpa jalan berlopak boleh hubungi kami dan kami akan ambil tindakan dalam 24 jam. Kita mahu jadi yang terbaik di Malaysia dan dunia,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 bagi kementeriannya di Parlimen hari ini.
Selain itu, menurut Shahidan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah bersetuju untuk bertindak segera ke atas sebarang aduan kerosakan jalan raya di ibu negara.
“Saya sudah berbincang dengan DBKL dan mengarahkan supaya mana-mana aduan, rungutan dan makluman mengenai kerosakan jalan hendaklah diambil tindakan segera dalam masa 24 jam,” katanya lagi.
Nombor telefon yang disebut adalah seperti berikut:
Shahidan: 0194545111
Jalaluddin: 0196524444
Mahadi: 0162068883