Gejala sugar baby, baby boy kian meningkat

Siapa yang tidak mahu hidup mewah, dibelikan apa saja yang diingini dan tidak perlu khuatir akan soal wang tunai. Apa si dia hendaki, akan dituruti. Asalkan, mereka menemani sugar daddy terbabit apabila diminta.

Persoalannya, kenapa orang muda hari ini lebih pentingkan wang berbanding maruah?

Inilah yang hangat diperbincangkan dalam media sosial ketika isu sugar baby dan sugar daddy ketika negara berdepan dengan peningkatan kes Covid-19.

Media tempatan pernah melaporkan menerusi data yang diperoleh daripada aplikasi Sugarbook mendedahkan Malaysia berada di kedudukan ketiga tertinggi di Asia bagi jumlah ‘sugar daddy’.

Aplikasi itu menyedia ruang bagi pengguna terutama golongan wanita untuk dijadikan perempuan simpanan atau ‘sugar  baby’.

Dilaporkan, sejumlah 12,705 penuntut universiti awam dan swasta di Lembah Klang mendaftar dengan aplikasi Sugarbook untuk mencari ‘sugar daddy’ mereka.

Persoalannya, adakah disebabkan desakan hidup dan ekonomi ekoran pandemik Covid-19 punca utama mahasiswa terbabit bertindak sedemikian?

Berdasarkan data Sugarbook, seramai 14,433 pendaftaran untuk menjadi sugar baby diterima membabitkan penuntut di 10 IPT di Malaysia termasuk dua daripadanya adalah IPT awam.

Dalam pada itu,  purata umur sugar daddy di Malaysia yang berdaftar dengan platform temu janji berkenaan adalah 35 tahun manakala majoriti golongan sugar baby berusia sekitar 23 tahun.

Pelbagai latar belakang kerjaya golongan sugar daddy termasuk dalam kalangan ahli perniagaan, jurutera, peguam, doktor serta pegawai eksekutif dengan purata pendapatan RM150,000 setahun.

Sementara itu, purata imbuhan bagi sugar baby di Malaysia dalam kalangan model sambilan, pelayan, jururawat dan pembantu peribadi pula adalah sebanyak RM2,500 sebulan.

Menurut kaunselor berdaftar, Hushim Salleh, mahu hidup mewah secara mudah dan pantas dikenal pasti menjadi pendorong kepada wanita muda memilih kerjaya haram sebagai sugar baby.

“Pengalaman sebagai kaunselor berdaftar mendapati isu ini bukanlah sesuatu yang baharu. Ia dah berlaku sejak dulu lagi. Selain sugar baby, golongan ini juga dikenali sebagai call girl. Ramai yang berjumpa saya termasuklah yang terlanjur dan mengandung luar nikah.

“Mereka menjadi sugar baby kerana keinginan gaya hidup mewah. Siapa yang tidak mahu, tinggal di kondominium, kereta mewah, pakaian dan beg mahal. Cuma sekarang platform lebih mudah kerana ada aplikasi,” jelasnya.

Selain dihimpit bebanan yuran atau kemiskinan, ada golongan sugar baby yang sudah menamatkan pengajian dan mendapat ijazah tetapi susah mendapat kerja. Jelas, Hushim, faktor ini mendorong mereka menjadi pelacur terhormat atau kelas atasan.

“Naluri manusia pastinya mahu hidup dalam keadaan mewah sehingga ada sebahagiannya sanggup mengambil jalan mudah bagi mencapai matlamat itu.

“Isu ini dilihat ‘subur’ dalam kalangan masyarakat kita kerana adanya permintaan sekali gus wujudnya penawaran.

“Walaupun tidak semua hubungan antara sugar daddy dan sugar baby atas kehendak seks semata-mata, namun sugar baby tetap mendapat imbuhan mencecah ribuan ringgit dengan melayan kemahuan sugar daddy,” katanya.

Baby boy

Pun begitu, katanya gejala tidak sihat ini sebenarnya bukanlah tertumpu kepada wanita sahaja. Ramai yang tidak mengetahui atau sedar kewujudan budaya baby boy yang melibatkan golongan muda lelaki.

“Apa yang mereka dapat itu menjadikan mereka seronok tanpa memikirkan kesan buruk aktiviti itu kepada hidup mereka terutama sekali apabila mereka tiada asas agama yang kukuh,” jelasnya.

Justeru, aktiviti tidak bermoral berkenaan perlu dihentikan bagi mengelakkan ia terus merebak hingga menjadi ‘barah’ kepada masyarakat termasuk mengambil langkah menghalang iklan platform janji temu yang menjurus kepada kegiatan itu disiarkan di negara ini.

Dalam hal ini, beliau menyeru semua pihak bersungguh-sungguh menangani isu ini lebih-lebih lagi membantu golongan wanita muda yang terdiri daripada golongan pelajar universiti. Kesalahan itu mungkin bukan 100 peratus ke atas golongan wanita muda tetapi penyelesaian itu janganlah hangat-hangat tahi ayam. Jadi, kerajaan, jabatan agama, badan bukan kerajaan, universiti dan masyarakat perlu sama-sama membendung gejala tidak sihat ini.

“Saya harap remaja dan belia supaya jangan terpedaya dengan gambaran hidup mewah sebagai penanda aras kejayaan mereka.

“Tidak salah untuk hidup mewah, namun ia perlu melalui jalan yang betul dan tidak melanggar peraturan masyarakat dan negara.

“Kerjaya sebagai sugar baby bukanlah sesuatu yang boleh dinikmati dalam jangka masa panjang kerana ia tidak akan kekal apabila remaja itu menjadi tua serta hilang kecantikan paras rupa.

“Oleh itu, golongan ini diharapkan supaya kembali semula kepada ibu bapa dan jangan menconteng arang ke muka mereka. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan mengambil tahu perkembangan anak-anak mereka dari semasa ke sama. Punca gejala sosial kebanyakan bermula daripada kepincangan institut keluarga,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR