
Pemain beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah. - Gambar FB BAM
Beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M Thinaah meneruskan impian mereka apabila mara ke final Terbuka Perancis sebentar tadi (Sabtu, 29 Oktober 2022).
Pemain nombor 11 dunia Pearly-Thinaah menundukkan naib juara Terbuka Denmark dari Korea Selatan baru-baru ini, Baek Ha-na-Lee So-hee 21-13, 21-17 pada separuh akhir di Paris.
Kemenangan itu membawa mereka untuk pertemuan menentang pemain nombor 7 dunia dari Jepun dan juara dunia dua kali Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara pada perlawanan akhir Ahad (30 Oktober).
Ini akan menjadi final Jelajah Dunia pertama pasangan Malaysia tahun ini.
Jurulatih beregu Hoon Thien How gembira dengan kemenangan itu dan mahu mereka mengekalkan prestasi terbaik di final.
“Sama seperti perlawanan suku akhir, mereka membuat persediaan yang sangat baik untuk perlawanan menentang Korea.
“Ini membantu mereka untuk menang. Pada perlawanan akhir esok, saya tidak mahu mereka terlalu berfikir tetapi masik ke gelanggang dan memberikan permainan yang terbaik, ” kata Thien How.
Pearly-Thinaah sebelum ini memenangi Terbuka Switzerland pada Mac tahun lalu.