Pihak berkuasa batal ubat tradisional mengandungi racun berjadual

Pendaftaran PS 21 Capsule dibatalkan setelah dikesan mengandungi racun berjadual Simvastatin. - Gambar KKM

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) membatalkan pendaftaran produk tradisional, PS 21 Capsule setelah mengesannya mengandungi racun berjadual Simvastatin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pembatalan pendaftaran itu dibuat pada mesyuarat PBKD ke-358 selepas mengesan racun berjadual yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk kesihatan.

Beliau berkata, Simvastatin adalah sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras kolestrol dalam darah dan pengambilan tanpa pengawasan ahli profesional boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan pencernaan, rasa lemah, sakit kepala, gangguan pada fungsi normal hati, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot.

“Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan mengikut peraturan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk itu untuk segera berhenti dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan.

POPULAR
Kes penghantar makanan pukul pelanggan hina Islam, 6 ditahanJune 12, 2021
LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrapJune 11, 2021
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Tempoh darurat: Kerajaan ambil kira rakyat sebelum nasihat AgongJune 12, 2021
Lebih 4.2 juta sudah terima vaksin Covid-19, kata Menteri KesihatanJune 12, 2021
Kerajaan kaji tetapkan harga siling minyak masak botol 5kgJune 12, 2021